Chelsea pecat Rosenior selepas lima kekalahan berturut-turut

LONDON – Chelsea memecat Liam Rosenior sebagai pengurus selepas pasukan itu mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), umum kelab itu malam ini.

Pengendali berusia 41 tahun itu hanya mengemudi pasukan lebih tiga bulan selepas meninggalkan kelab Perancis, Strasbourg yang mempunyai kaitan dengan pemilik Chelsea dari Amerika Syarikat (AS).

Kekalahan 0-3 di tangan Brighton, awal pagi semalam menjadi penamat buat Rosenior, sekali gus menyaksikan Chelsea tewas lima perlawanan liga berturut-turut tanpa menjaringkan gol buat kali pertama sejak 1912.

Keputusan itu menyebabkan The Blues kini ketinggalan tujuh mata daripada kelompok kelayakan ke Liga Juara-Juara.

“Kelab Bolasepak Chelsea hari ini berpisah dengan ketua jurulatih, Liam Rosenior.

“Liam sentiasa mempamerkan integriti dan profesionalisme tinggi sejak dilantik pada pertengahan musim.

“Ini bukan satu keputusan mudah, namun keputusan dan prestasi semasa berada di bawah standard yang diperlukan ketika masih banyak perlawanan perlu diharungi musim ini,” menurut kenyataan kelab itu.

Chelsea turut mengesahkan pembantu jurulatih, Calum McFarlane akan mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara dengan perlawanan pertama menentang Leeds United pada separuh akhir Piala FA, Ahad ini.

Kelab itu turut memaklumkan akan menjalankan proses penilaian menyeluruh bagi membuat pelantikan jangka panjang yang tepat.

Rosenior menjadi pilihan mengejut pada Januari lalu bagi menggantikan jurulatih dari Itali, Enzo Maresca yang sebelum itu dilihat popular dalam kalangan pemain namun dilaporkan mempunyai perbezaan pendapat dengan pemilik kelab.

Selepas permulaan meyakinkan, Chelsea tersingkir daripada Piala Liga sebelum disingkirkan Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara secara agregat 2-8 bulan lalu.

Hubungan antara skuad dan jurulatih juga dilihat semakin retak sejak beberapa minggu lalu.

Keputusan memecat Maresca turut dipersoalkan secara terbuka oleh Enzo Fernandez dan Marc Cucurella.

Fernandez kemudian digugurkan bagi dua perlawanan selepas memberi bayangan terbuka untuk berpindah ke Real Madrid dan terpaksa memohon maaf.

Kekecewaan Rosenior jelas terserlah selepas kekalahan kepada Brighton.

“Saya pernah mempertahankan pemain apabila perlu, tetapi saya tidak boleh mempertahankan prestasi itu. Ia tidak mencerminkan kelab ini dan apa yang saya mahukan daripada pasukan dan itu perlu berubah,” katanya.

Chelsea sebelum ini menjuarai Piala Dunia Kelab tahun lalu serta Liga Konferens UEFA pada 2024, namun ia antara pencapaian terhad meskipun membelanjakan hampir £1 bilion (RM5.34 bilion) untuk pemain sejak diambil alih oleh pelabur AS, Todd Boehly daripada Roman Abramovich. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *