KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 21 individu cedera selepas sebuah feri penumpang bertembung dengan kapal dagang di perairan Pulau Pinang dalam kejadian pada malam semalam.
Insiden membabitkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya itu berlaku sekitar jam 8.40 malam dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, semua mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, tiada lagi penumpang yang cedera berada di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) selepas proses pemindahan dan bantuan selesai dilakukan.
“Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH,” katanya menerusi kenyataan.
Berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya ketika kejadian dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
Kapal berkenaan kemudian dipercayai bertembung dengan Feri Teluk Bahang yang ketika itu dalam perjalanan ke Pangkalan Sultan Abdul Halim.
Hentaman tersebut menyebabkan beberapa motosikal yang berada di atas feri dilaporkan terbalik, manakala beberapa penumpang mengalami kecederaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.
Susulan panggilan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu mangsa yang terlibat.
Menurut John Sagun, jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kejadian itu dilaporkan seramai 92 orang, termasuk penumpang.
“Seramai 92 individu termasuk penumpang terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, perkhidmatan feri dilaporkan masih berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden pelanggaran itu.
SPPP memaklumkan pihaknya bersama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan mengambil segala tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kebajikan penumpang yang terlibat diberi perhatian, selain menjamin aspek keselamatan serta kelancaran operasi pelabuhan.
Siasatan lanjut berkaitan punca dan keadaan sebenar yang membawa kepada pelanggaran antara kedua-dua kapal berkenaan dijangka dijalankan oleh pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
