Tun M kongsi cerita insiden jatuh ketika bersenam

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkongsi cerita sebenar di sebalik insiden yang menyebabkan beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Januari lalu dan rupanya ia berlaku ketika sedang bersenam.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tanpa diduga iaitu ketika beliau sedang berjalan untuk bersenam, tiba-tiba kaki kanannya hilang kekuatan secara mengejut.

“Sedang exercise berjalan, tiba-tiba kaki kanan saya hilang kuasa… bila hilang kuasa, saya jatuh,” kongsinya.

Akibat jatuh itu, beliau mengalami kecederaan termasuk keretakan pada bahagian sendi antara kaki dan pinggang (hip joint), selain luka ringan di kepala. Katanya, kesakitan yang dialami memang agak kuat pada awalnya.

Beliau kemudian dihantar ke IJN untuk rawatan lanjut. Walaupun doktor cuba mengurangkan kesakitan, proses itu mengambil masa beberapa hari sebelum keadaan mula beransur pulih.

Dalam perkongsian melalui Podcast Dr M, beliau turut menjelaskan kecederaan tersebut melibatkan bahagian sendi penting yang menghubungkan kaki dan pinggang, sebab itu pergerakan menjadi agak sukar.

“Sekarang ini, selepas tiga bulan, dah boleh berdiri… tapi kawalan kaki itu belum sepenuhnya kembali, rasa macam tak ada kaki,” jelasnya lagi secara jujur.

Untuk rekod, kejadian itu berlaku pada 6 Januari lalu dan disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff. Tun M yang ketika itu berusia 100 tahun dibawa ke IJN dengan ambulans dalam keadaan sedar.

Sepanjang tempoh pemulihan, beliau tidak menjalani pembedahan, sebaliknya hanya melalui rawatan fisioterapi hasil perbincangan dengan pakar dari IJN, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (UKM).

Selepas menunjukkan perkembangan positif, beliau dibenarkan pulang secara berperingkat pada 6 Februari, namun masih di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.

Berita baiknya, Tun M kini sudah kembali bekerja sejak 25 Mac lalu, membuktikan semangat dan ketabahannya masih kuat walaupun berdepan cabaran kesihatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *