Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memadamkan satu imej janaan kecerdasan buatan (AI) di media sosial selepas mencetuskan bantahan pemimpin agama yang menyifatkannya sebagai penghinaan.
Imej yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya itu memaparkan Trump mengenakan jubah merah dan putih, menyentuh dahi seorang lelaki yang kelihatan sakit dengan cahaya bersinar dari tangan dan kepalanya, berlatarbelakangkan bendera Amerika serta beberapa individu yang memandang dengan penuh hormat.
Gambar berkenaan dimuat naik lewat malam Ahad sebelum dipadamkan pada Isnin.
Mengulas perkara itu, Trump menafikan imej tersebut bertujuan menggambarkan dirinya sebagai Nabi Isa. “Saya memang memuat naiknya, dan saya fikir ia menunjukkan saya sebagai seorang doktor dan ada kaitan dengan Palang Merah.
“Ia sepatutnya menggambarkan saya sebagai seorang doktor yang menyembuhkan orang. Dan saya memang menyembuhkan orang. Saya membuatkan ramai orang menjadi jauh lebih baik,” katanya kepada wartawan.
Hantaran itu bagaimanapun mencetuskan bantahan daripada beberapa tokoh Kristian konservatif yang juga penyokong kuat beliau.
Wartawan dan pengulas konservatif, Megan Basham menyifatkan hantaran itu sebagai penghinaan agama yang serius dan menggesa ia dipadamkan serta-merta.
“Saya tidak tahu sama ada Presiden menyangka ini kelakar atau jika beliau berada di bawah pengaruh sesuatu bahan, atau apa penjelasan lain yang mungkin bagi penghinaan agama yang TERUK ini.
“Dia perlu menurunkan hantaran ini dengan serta-merta dan meminta pengampunan daripada rakyat Amerika, kemudian daripada Tuhan,” katanya di platform X.
Trump sebelum ini turut menggunakan imejan keagamaan dalam beberapa hantarannya, termasuk berkongsi lakaran dirinya duduk bersebelahan Nabi Isa ketika perbicaraan kes penipuan bank pada 2023.
Para penasihatnya juga sering menggambarkan beliau dalam peranan seakan-akan Nabi Isa. Dalam satu majlis makan tengah hari Easter di White House awal bulan ini, pendakwah televangelis dan penasihat rohaninya, Paula White-Cain turut menyamakan Trump dengan Nabi Isa.
“Anda dikhianati, ditangkap dan dituduh secara palsu. Ia adalah pola yang sama seperti yang ditunjukkan oleh Tuhan dan Penyelamat kita,” katanya. – ASTRO AWANI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L