UMNO Digesa Terima Teguran, Hentikan Sikap Defensif – Marzuki

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menggesa kepimpinan UMNO menghentikan sikap defensif, sebaliknya lebih terbuka menerima teguran, khusus daripada tokoh berpengalaman seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu perpecahan orang Melayu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan balas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menurutnya dilihat terlalu cepat melatah terhadap pandangan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, reaksi itu bukan sahaja tidak membantu meredakan keadaan, malah mencerminkan kegagalan kepimpinan UMNO untuk berdepan dengan realiti politik semasa yang semakin mencabar.

“Jika benar UMNO tidak menjadi punca kepada perpecahan Melayu, maka buktikanlah dengan fakta dan tindakan yang jelas. Respons beremosi hanya akan menampakkan kelemahan kepimpinan serta kegagalan untuk menangani isu sebenar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Marzuki menegaskan, pandangan disuarakan oleh Tun Dr. Mahathir tidak seharusnya dilihat sebagai serangan politik semata-mata, sebaliknya sebagai satu bentuk peringatan keras yang lahir daripada pengalaman panjang dalam arena politik negara.

Katanya, sikap segelintir pemimpin UMNO yang cenderung menafikan kritikan tanpa melakukan muhasabah diri hanya akan mempercepatkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

“Budaya politik yang sihat sepatutnya membuka ruang kepada perbezaan pandangan. Namun apa yang kita lihat hari ini, teguran sering disambut dengan sindiran, penolakan, malah usaha memperkecilkan kredibiliti individu yang bersuara,” katanya.

Marzuki turut melahirkan kebimbangan terhadap perubahan budaya dalaman UMNO yang disifatkan semakin tidak mesra terhadap kritikan, terutama apabila ia datang daripada tokoh veteran yang pernah membina kekuatan parti itu suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, teguran berulang kali mengenai isu yang sama tidak bermakna ia sudah tidak relevan, sebaliknya menunjukkan bahawa masalah tersebut masih belum diselesaikan.

“Selagi isu perpecahan Melayu belum ditangani secara tuntas, selagi itulah teguran akan terus kedengaran. Menolak pandangan hanya kerana ia datang daripada ‘orang lama’ adalah satu sikap angkuh yang tidak mencerminkan kematangan politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat kegagalan UMNO melaksanakan pembaharuan dalaman secara menyeluruh menjadi antara faktor utama yang mendorong orang Melayu berpecah kepada pelbagai blok politik pada hari ini.

Marzuki berkata, dalam situasi tersebut, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha mencari titik persamaan dan membina kekuatan bersama, bukannya terus mempertahankan ego politik yang semakin ditolak rakyat.

Mengulas cadangan “Payung Besar Melayu” yang diketengahkan oleh Tun Dr. Mahathir, beliau menyifatkan idea itu sebagai satu pendekatan strategik yang realistik dalam usaha menyatukan kekuatan politik Melayu dan Islam di negara ini.

Menurutnya, konsep tersebut bukan sekadar retorik, tetapi satu usaha menyeluruh untuk menggabungkan parti-parti Melayu seperti Pas, Parti Bersatu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Berjasa, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam/Melayu, dalam satu kerangka kerjasama yang lebih kukuh dan berprinsip.

“Ini bukan soal mengumpulkan serpihan politik, tetapi menyatukan kekuatan yang berpecah agar dapat kembali menjadi satu kuasa yang stabil dan berpengaruh,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyifatkan konsep “Rumah Bangsa” yang diketengahkan UMNO sebagai langkah kurang meyakinkan dan tidak mencerminkan penyelesaian jangka panjang.

Katanya, usaha mengumpulkan individu yang dipecat atau tersisih daripada parti tidak boleh dianggap sebagai formula perpaduan sebenar, sebaliknya hanya menggambarkan kelemahan dalaman yang masih gagal diatasi.

Dalam perkembangan sama, Marzuki turut menyentuh persepsi masyarakat terhadap UMNO yang menurutnya semakin merosot berbanding kedudukan parti itu suatu ketika dahulu.

Beliau berkata, UMNO kini dilihat tidak lagi sekuat dan setegas dahulu dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Lebih membimbangkan, wujud persepsi bahawa UMNO tidak lagi berdiri sebagai kuasa dominan yang bebas, sebaliknya dilihat tunduk kepada tekanan dan pengaruh pihak lain, termasuk dakwaan parti itu kini sekadar mengikut telunjuk DAP,” katanya.

Menurutnya, persepsi tersebut, sama ada benar atau tidak, memberi kesan besar terhadap keyakinan orang Melayu terhadap UMNO dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, UMNO tidak boleh terus berada dalam zon selesa dengan menganggap setiap kritikan sebagai serangan politik.

Sebaliknya, parti itu perlu menghidupkan semula budaya keterbukaan dalam menerima pandangan berbeza, termasuk daripada tokoh lama yang pernah mengangkat martabat UMNO ke tahap dihormati.

“Menolak suara mereka bererti menolak sejarah dan pengalaman yang tidak ternilai. Ini adalah kerugian besar kepada parti,” katanya.

Marzuki turut menggariskan beberapa langkah yang disifatkan penting sekiranya UMNO benar-benar mahu kembali relevan dalam landskap politik semasa.

Antaranya termasuk keberanian untuk mengakui kelemahan sendiri, kesediaan membuka ruang kepada penyatuan parti-parti Melayu tanpa syarat sempit, serta kembali kepada prinsip asal perjuangan berteraskan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Beliau menegaskan, retorik politik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memenangi kepercayaan rakyat, sebaliknya tindakan konkrit dan perubahan sebenar amat diperlukan.

Marzuki menyeru semua pihak, khususnya kepimpinan UMNO, agar menghentikan budaya penafian dan segera mengambil langkah ke arah penyatuan ummah.

“Masa depan orang Melayu tidak boleh terus digadaikan hanya kerana keengganan segelintir pemimpin untuk berubah. Sejarah telah membuktikan kekuatan Melayu terletak pada kesatuan.

“Jika perpecahan ini terus dibiarkan, maka yang rugi bukan sahaja parti politik, tetapi keseluruhan bangsa Melayu itu sendiri,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *