Oleh: Abd. Ghaffar Daud
TANAH MERAH – Pengetua Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (MTSTM), Azhar Mat Yusof bersara pilihan pada usia 58 tahun selepas hampir 30 tahun menabur bakti sebagai pendidik.
Beliau yang turut diiringi isteri pada majlis perpisahan itu, sempat berkhidmat sebagai pengetua di MTSTM selama hampir 14 tahun.
Majlis Lambaian Kasih Seluhur Budi Sejambak Kenangan sempena persaraan beliau berlangsung dalam suasana cukup meriah apabila guru dan kakitangan mengiringinya memasuki dewan tertutup, dengan mengenakan busana tradisional, manakala pelajar berbaris panjang sebagai tanda penghormatan terakhir.
Dalam majlis itu, beliau turut merakamkan cap ibu jari untuk kali terakhir di mesin perakam waktu sebagai simbolik penamat perkhidmatan.

Selepas selesai majlis, acara diteruskan dengan konvoi menghantar beliau pulang ke kediamannya, sebagai tanda kasih dan penghargaan warga sekolah atas jasa dicurahkan.
Dalam ucapannya, Azhar meluahkan rasa terharu dan kagum atas sambutan diberikan serta keindahan hiasan pentas yang disediakan.
Menurutnya, perpisahan itu amat sukar, namun itulah hakikat kehidupan di dunia yang sementara.
Beliau mengibaratkan perjalanan hidup seperti fasa pendidikan, bermula dari sekolah rendah ke sekolah menengah dan seterusnya ke universiti, sebelum setiap insan meneruskan haluan masing-masing.
Dalam amanat terakhirnya, Azhar menekankan kepentingan disiplin dalam kalangan pelajar dan mengingatkan agar tidak melanggar peraturan dalam pembelajaran kerana ia boleh membawa penyesalan di kemudian hari.
“Pelajar hendaklah sentiasa jujur dengan guru dan ibu bapa,” katanya.
Beliau turut berkongsi antara sumbangan terbesar sepanjang perkhidmatannya di MTSTM ialah kejayaan melaksanakan projek air telaga tiub pada tahun 2013, yang sehingga kini memberi manfaat kepada warga sekolah sebagai sumber air berterusan, dengan kapasiti penggunaan sekitar 27 liter sehari hasil sumbangan ibu bapa serta sedikit peruntukan pihak sekolah.

Katanya lagi, warga sekolah perlu terus memberikan sokongan padu kepada pengganti beliau kelak agar perjalanan pentadbiran tidak menjadi tempang.
“Bekerjasamalah dari atas hingga ke bawah. Segala keputusan terletak pada pengetua, namun kekuatan sebenar adalah pada kesepaduan warga sekolah,” ujarnya.
Beliau menegaskan, warga sekolah adalah organisasi paling rapat dan berperanan penting dalam menentukan kecemerlangan serta hala tuju sesebuah institusi pendidikan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L