Nurul Alifa Ukir Sejarah, Jadi Juruterbang Wanita Pertama APMM

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA – Sejarah baru tercipta di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) apabila Leftenan Madya Maritim Nurul Alifa Alias memecah tradisi lelaki dengan menjadi juruterbang wanita pertama menerima Sayap Penerbang Maritim Malaysia.

Keberhasilan beliau menamatkan latihan intensif juruterbang helikopter selama 20 bulan bukan sahaja membuktikan kemampuan peribadi, malah membuka lembaran baru bagi keterangkuman wanita dalam unit operasi udara APMM.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata pencapaian Nurul Alifa adalah bukti komitmen agensi dalam membangunkan kepakaran penerbangan dalaman tanpa bergantung kepada agensi keselamatan lain.

“Ini merupakan lonjakan besar dalam memperkasakan keupayaan operasi udara dan keterangkuman warga Maritim Malaysia, khususnya pegawai wanita,” ujarnya pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026.

Beliau berkata, Bahagian Operasi Udara APMM memegang peranan kritikal sebagai “mata di langit” untuk memperkukuh kedaulatan perairan negara. Keupayaan aset udara membolehkan agensi memperluas radius pemantauan serta meningkatkan keberkesanan operasi, termasuk misi Mencari dan Menyelamat (SAR), membanteras pencerobohan nelayan asing, dan mengekang jenayah rentas sempadan.

Nurul Alifa adalah salah seorang daripada lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang melalui latihan teknikal dan fizikal mencabar, termasuk latihan ikhtiar hidup, underwater escape, simulator penerbangan, dan rekod penerbangan sebenar sehingga 155 jam.

Pada majlis sama, seramai tujuh pegawai lelaki turut menerima Sayap Penerbang, manakala enam pelatih Pegawai Sistem Udara Siri 2/2024 dan lima jurulatih penerbangan dianugerahkan sijil tamat latihan masing-masing.

Pencapaian Nurul Alifa dijangka menjadi pemangkin kepada lebih ramai pegawai wanita untuk menyertai unit elit operasi udara APMM pada masa hadapan, membuka laluan baru bagi wanita dalam bidang yang selama ini didominasi lelaki.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *