Dari Meja Editorial
KEPUTUSAN Parti MIC untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) boleh dianggap sebagai satu langkah pragmatik ke arah memastikan kelangsungan politik parti tersebut dalam landskap politik yang semakin mencabar.
Namun, di sebalik keputusan tersebut, timbul persepsi dalam kalangan pemerhati bahawa MIC seolah tidak mempunyai pendirian tegas dan konsisten dalam menentukan hala tuju politiknya.
Walaupun MIC masih kekal sebagai komponen BN, terdapat bayangan parti itu tidak menutup sepenuhnya ruang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), yang diterajui PAS dan Parti Bersatu.
Isyarat sebegini menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan politik MIC serta kejelasan strategi jangka panjangnya, khusus dalam usaha untuk terus relevan dalam arena politik negara yang semakin dinamik.
Keadaan ini tidak boleh dipisahkan daripada kesan kekalahan besar BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. Dalam pilihan raya bersejarah itu, BN buat pertama kali kehilangan kuasa kerajaan persekutuan kepada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kekalahan ini bukan sahaja menamatkan dominasi BN selama lebih enam dekad, malah turut memberi tamparan hebat kepada parti-parti komponennya termasuk MIC.
Selepas PRU14, MIC dilihat bergelut untuk mencari identiti baharu. Parti itu gagal menunjukkan peningkatan dari segi prestasi pilihan raya, sama ada dari sudut jumlah kerusi yang ditandingi mahupun dimenangi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Malah, dalam beberapa siri pilihan raya seterusnya, MIC terus berada di pinggiran, tanpa sebarang lonjakan yang signifikan untuk mengembalikan pengaruhnya.
Lebih membimbangkan, MIC juga dilihat gagal memperkukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi India sendiri. Dalam era politik baharu yang lebih terbuka dan kompetitif, masyarakat India mempunyai lebih banyak pilihan politik, termasuk parti-parti dalam PH dan PN.
Ini menyebabkan MIC tidak lagi menjadi pilihan tunggal atau dominan seperti suatu ketika dahulu dan kelemahan ini menimbulkan persoalan besar mengenai peranan sebenar MIC dalam BN.
Jika parti itu tidak mampu menyumbang kepada kemenangan kerusi atau memperkukuhkan sokongan pengundi, maka kedudukannya sebagai komponen BN juga boleh dipersoalkan. Dalam konteks ini, MIC berisiko terus dilihat sebagai “melukut di tepi gantang”, iaitu wujud, tetapi tidak memberi impak yang besar.
Tambahan pula, sikap dilihat “berkira-kira” antara kekal setia kepada BN atau membuka ruang kepada PN boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan pengundi.
Dalam politik, persepsi adalah segala-galanya. Parti yang tidak mempunyai pendirian jelas sering dilihat lemah dan tidak berprinsip, sekali gus menyukarkan usaha untuk menarik sokongan baharu.
Untuk kembali relevan, MIC perlu melakukan pembaharuan menyeluruh, bukan sahaja dari segi strategi politik, tetapi juga kepimpinan, pendekatan kepada pengundi serta agenda perjuangan yang lebih segar dan inklusif.
Parti itu perlu jelas dalam menentukan hala tuju: sama ada kekal setia memperkukuhkan BN atau memilih laluan politik yang berbeza dengan justifikasi yang kukuh.
Kesimpulannya, walaupun tindakan MIC kekal bersama BN boleh dianggap sebagai langkah selamat dalam jangka pendek, parti itu tidak boleh terus bergantung kepada strategi lama.
Tanpa perubahan yang signifikan dan pendirian yang jelas, MIC berisiko terus terpinggir dalam arus politik negara yang semakin berkembang. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
