Siri Khas 2: Pembolosan Mas Selamat Kastari – Rancangan Melarikan Diri

Oleh: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay

Bayang di Sebalik Dinding Whitley Road

AWAL Februari 2008, dalam tembok kukuh Pusat Tahanan Whitley Road, seorang tahanan bernama Mas Selamat Kastari mula menyusun serpihan harapan yang selama ini terkubur di balik jeriji besi.

Perintah tahanannya baharu sahaja dilanjutkan dua tahun lagi, satu tempoh yang bagi kebanyakan orang hanyalah angka, tetapi bagi beliau, ia adalah penjara dalam penjara.

Namun, di celah rutin yang kelihatan kaku, Mas Selamat melihat sesuatu yang orang lain terlepas pandang iaitu peluang.

Setiap Rabu, antara jam 4 hingga 4.30 petang, lawatan keluarga berlangsung. Ia kelihatan biasa, rutin, bahkan membosankan bagi pengawal. Tetapi bagi Mas Selamat, setiap detik dalam ruang itu adalah bahan kajian.

Lebih-lebih lagi apabila bilik lawatan dipindahkan ke lokasi baharu kerana kerja pengubahsuaian.

Di situlah dia menemui kelemahan paling kritikal iaitu lubang ventilasi di tandas yang besar dan tidak berjeriji besi. Dan, dari situ satu pelan mula terbentuk.

Mas Selamat tahu, melarikan diri bukan sekadar soal peluang, tetapi soal keupayaan fizikal. Dalam tempoh beberapa minggu, dia mula mengubah rutin hariannya.

Setiap sesi senaman, pagi atau petang, dimanfaatkan sepenuhnya. Tekan tubi, larian kecil, sit-up dan role-up, semuanya dilakukan dengan disiplin yang luar biasa. Tubuhnya diasah seperti seorang atlet yang bersiap untuk pertandingan hidup dan mati.

Namun, latihan fizikal hanyalah satu sisi cerita. Dalam diam, dia mula mengumpul alat-alat kecil yang kelihatan tidak berbahaya seperti dua sarung bantal berukuran 2 x 3, pencukur janggut tambahan dan beberapa barangan lain yang disorok rapi. Sarung bantal itu bukan sekadar kain. Ia bakal menjadi penyamaran.

Semasa lawatan keluarga, komunikasi berlangsung bukan dengan kata-kata, tetapi melalui bahasa isyarat. Di hadapan pengawal, ia kelihatan seperti interaksi biasa antara suami isteri. Namun hakikatnya, maklumat penting mengenai persekitaran luar disampaikan dengan teliti.

Mas Selamat juga meminta isterinya membawa pakaian tambahan iaitu baju “Raihan” yang akan menjadi sebahagian daripada pelan penyamarannya.

Setiap butiran diambil kira. Setiap kemungkinan dihitung.

Pada 27 Februari 2008, jam menunjukkan 3 petang. Udara di dalam pusat tahanan terasa seperti biasa, tenang, terkawal dan rutin. Namun, bagi Mas Selamat, ini adalah hari penentuan.

Dia mula melilit sarung bantal di pinggangnya. Di sebalik lilitan itu, disembunyikan cermin mata, mentega ‘cup’, dan pisau cukur, alat kecil yang bakal memainkan peranan besar.

Jam 3.30 petang, dia diiringi oleh dua pegawai lelaki dan seorang wanita ke tandas bilik lawatan keluarga untuk menukar pakaian.

Di sinilah permainan masa bermula. Mas Selamat sengaja melengah-lengahkan proses. Dia meminta pisau cukur ditukar dengan alasan tumpul. Air pili dibuka, bunyi aliran air menjadi pengalih perhatian. Saat-saat kecil ini mencipta ruang yang sangat berharga.

Dan kemudian, dalam satu gerakan pantas dia memanjat ventilasi. Laporan rekonstruksi kemudian mendedahkan sesuatu yang mengejutkan:
Mas Selamat hanya mengambil masa 49 saat untuk keluar dari tingkap ventilasi dan menuju ke pagar pusat tahanan.

Kurang seminit. Dalam dunia keselamatan, itu adalah kegagalan yang sangat mahal.

Setelah berjaya keluar, Mas Selamat tidak menoleh ke belakang. Dia berlari ke arah pagar berhampiran bumbung pejalan kaki. Dengan cekap, dia memanjat dan berjalan di atas bumbung tersebut sebelum melompat keluar ke kawasan belukar.

Dari situ, dia menyusuri Pan Island Expressway menuju ke arah Toa Payoh, satu perjalanan sejauh kira-kira 5 kilometer.

Laporan menunjukkan dia mengambil masa hanya 2 minit 44 saat untuk sampai ke lebuh raya tersebut.

Kelajuan. Ketepatan. Dan keberanian. Namun pelarian ini baru sahaja bermula. Di bawah sebuah jejambat di lebuh raya, Mas Selamat menemui tempat persembunyian.

Takdir menemukan dia dengan seorang buruh warga Thailand tanpa izin, seorang individu yang mungkin tidak pernah membayangkan akan menjadi sebahagian daripada kisah pelarian paling terkenal di rantau ini.

Buruh tersebut memberikan makanan dan wang sebanyak 10 dolar Singapura. Empat hari Mas Selamat bersembunyi di bawah jejambat, hidup dalam ketakutan, menunggu waktu yang tepat untuk langkah seterusnya.

Malam 1 Mac 2008, keputusan dibuat. Mas Selamat bersedia untuk meninggalkan Singapura dan menyusup masuk ke Johor Bahru.

Dia mencukur misai dan janggutnya. Sarung bantal dijadikan tudung kepala. Dengan cermin mata sebagai pelengkap, dia menyamar sebagai seorang wanita—satu penyamaran yang cukup berani.

Dengan kupon tiket bas yang diberikan oleh buruh Thailand itu, dia menaiki bas dari Terminal Toa Payoh menuju ke Woodlands.

Namun cabaran sebenar masih menanti.

Untuk menyeberangi Selat Tebrau, Mas Selamat tidak mempunyai bot. Tidak juga bantuan rasmi.

Sebaliknya, dia mengutip beg plastik sampah dan enam botol mineral kosong berkapasiti 1.5 liter—alat improvisasi yang akan dijadikan pelampung.

Dalam gelap malam, dengan hanya keazaman dan alat seadanya, dia bersedia untuk menempuh salah satu bahagian paling berbahaya dalam pelariannya.

Bersambung

Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ialah Timbalan Ketua Polis Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *