KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri sempena 1 Syawal 1447H pada Sabtu ini.
Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 21 Mac 2026,” katanya.
Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Keputusan menetapkan tarikh hari raya puasa 2026 bersamaan 1447 Hijrah berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.
Umat Islam di negara ini mula berpuasa 19 Mac lalu, menjadikan ibadat kali ini lengkap selama 30 hari.
Terdahulu, petang tadi aktiviti mencerap anak bulan dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara.
Lokasi dikenal pasti adalah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain termasuk Stesen Cerapan Hilal di Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah, manakala di Terengganu pula di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah di Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu.
Di Sabah ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara 188, Kuantan.
Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Aidilfitri diberikan tanpa mengira sama ada perayaan itu jatuh pada Jumaat atau Sabtu.
Beliau berkata, cuti tambahan itu diberikan pada Isnin sekiranya Aidilfitri jatuh pada Jumaat, manakala jika perayaan itu disambut pada Sabtu, cuti tambahan akan diberikan pada Jumaat.
Sementara itu, Di Singapura, Muftinya, Dr. Nazirudin Mohd Nasir berkata, berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang dipersetujui MABIMS (Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura), anak bulan Syawal berada terlalu rendah di ufuk Singapura ketika matahari terbenam pada Khamis dan tidak dapat dilihat.
“Ini bermakna esok (Jumaat) melengkapkan bulan Ramadan selama 30 hari bagi kami di Singapura dan permulaan bulan Syawal bagi tahun 1447H jatuh pada lusa Sabtu, 21 Mac 2026,” katanya dalam klip video yang dimuat naik di laman web Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Khamis.
Di Jakarta, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia Nasruddin Umar berkata, tarikh 1 Syawal ditentukan menerusi sidang isbat pada Khamis selepas hilal tidak kelihatan di seluruh negara berdasarkan kedua-dua kaedah pengiraan astronomi (hisab) dan cerapan (rukyah).
Berdasarkan data hisab, beliau berkata, hilal tidak memenuhi kriteria penglihatan ditetapkan oleh MABIMS, iaitu piawaian serantau yang diguna pakai oleh Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, yang memerlukan paras ketinggian bulan serta jarak sudut tertentu bagi mengesahkan kenampakan.
Di Bangkok, Sheikhul Islam Thailand Arun Boonchom mengumumkan menerusi siaran langsung Facebook, umat Islam di negara itu akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu selepas anak bulan tidak kelihatan selepas matahari terbenam pada Khamis.
Majlis Islam di 40 wilayah menjalankan cerapan anak bulan pada Khamis.
Thailand mempunyai kira-kira 10 juta umat Islam, kebanyakannya menetap di wilayah selatan Pattani, Yala dan Narathiwat.
Sementara itu, Kemboja turut menyertai negara jiran dalam menyambut Aidilfitri pada Sabtu.
Mufti Besar Kemboja merangkap Pengerusi Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja Kamaruddin Yusof membuat pengumuman itu pada Khamis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L