WASHINGTON – Pentagon sedang memohon dana tambahan AS$200 bilion (RM251 bilion) daripada Kongres untuk membiayai perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.
Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, berkata bagaimanapun tiada ‘garis masa’ ditetapkan, mengenai pengakhiran perang berkenaan.
Ketika ditanya semalam mengenai jumlah peruntukan diperlukan, Hegseth tidak mengesahkannya secara langsung, namun memaklumkan ia mungkin berubah.
“Setakat ini AS$200 bilion, saya rasa jumlah itu boleh berubah. Sudah tentu kita memerlukan dana yang besar untuk menewaskan musuh,” katanya.
“Kami akan kembali ke Kongres untuk memastikan memperoleh jumlah dana diperlukan dan apa yang mungkin perlu dilakukan pada masa depan,” katanya.
Setakat ini, jumlah sebenar kos perang terbabit masih belum didedahkan kepada umum dan jumlah keseluruhannya bergantung kepada berapa lama kempen perang AS-Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada 28 Februari itu berlanjutan.
Bagaimanapun, menurut juruaudit Pentagon dalam laporannya kepada penggubal undang-undang, jumlahnya boleh menjadi besar, dianggarkan dalam tempoh enam hari pertama perang, ia menelan belanja AS$11.3 bilion (RM14.23 bilion).
Lapor Associated Press dan Washington Post, Jabatan Pertahanan AS memohon jumlah itu daripada Rumah Putih.
Jumlah berkenaan dianggap sangat tinggi dan ia adalah pembiayaan tambahan yang telah diterima Jabatan Pertahanan tahun lalu sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang potongan cukai diperkenalkan Presiden Donald Trump pada Julai lalu.
Permohonan sedemikian memerlukan kelulusan Kongres dan tidak jelas sama ada perbelanjaan sedemikian mendapat sokongan politik.
Kongres sudah bersiap sedia menghadapi permintaan pembiayaan baharu, namun masih tidak jelas sama ada Rumah Putih telah mengemukakan cadangan bagi perang yang tidak dinyatakan garis masanya.
“Kami tidak mahu menetapkan garis masa yang pasti. Buat masa ini segala yang dirancang berjalan dengan baik.
“Keputusan itu akan bergantung kepada presiden, pada akhirnya, di mana kita akan berkata, kita telah mencapai apa yang diperlukan,” katanya. -AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L