KUALA LUMPUR – Prosiding di mahkamah semalam, menyaksikan dua individu, Zamri Vinoth dan Arun Doraisamy, masing-masing berdepan pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang sama, namun mencetuskan persoalan berhubung layanan berbeza oleh pihak berkuasa.
Dalam sidang media selepas prosiding, peguam kepada Zamri memaklumkan, anak guamnya tidak melarikan diri seperti didakwa sebelum ini.
Menurutnya, rekod pasport menunjukkan Zamri telah kembali ke Malaysia pada 12 Mac, manakala kenyataan media pihak berkuasa yang menyatakan beliau melarikan diri ke luar negara hanya dikeluarkan pada malam 13 Mac.
Peguam itu mempersoalkan asas kepada kenyataan berkenaan serta bagaimana naratif tersebut dibentuk.
Pada masa sama, pihak pembelaan turut membangkitkan isu layanan berbeza antara dua tertuduh yang didakwa di bawah kanun yang sama.
Zamri dilaporkan hadir ke mahkamah dengan tangan bergari serta dikawal ketat oleh polis, sebaliknya Arun Doraisamy dilihat hadir tanpa digari dan tidak diiringi anggota keselamatan, malah diiringi seorang Timbalan Menteri Undang-Undang.
“Persoalannya, mengapa wujud perbezaan layanan sedemikian dalam kes yang melibatkan pertuduhan di bawah undang-undang yang sama?” kata peguam itu kepada media.
Dalam prosiding, Zamri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dan menyatakan kesediaannya untuk dibicarakan.
Beliau turut menegaskan, perhimpunan GARAH yang dianjurkan sebelum ini adalah dilaksanakan dalam lingkungan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah menetapkan tarikh lanjut bagi sebutan semula kes dan pengurusan perbicaraan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L