Mutakhir Perang Asia Barat: Ketegangan Iran–AS–Israel Semakin Memuncak

PERANG dan ketegangan geopolitik di Asia Barat terus menunjukkan perkembangan semakin serius apabila konflik antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel memasuki fasa yang lebih tegang.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaparkan gambaran terkini mengenai situasi konflik di rantau tersebut.

Menurut beliau, tentera Iran melalui Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu balistik hipersonik yang mencetuskan letupan kuat di wilayah Negev di selatan Israel.

Letupan itu dipercayai berlaku berhampiran pangkalan udara utama Israel iaitu Nevatim Airbase menyebabkan banyak pasukan kecemasan seperti ambulans dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Selain itu, Iran juga dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron ke beberapa bandar utama di Israel termasuk Tel Aviv, Haifa, Jerusalem, Beit Shemesh, Gush Dan, Eilat, Holon, Rishon LeZion, Shoham serta kawasan Negev.

Serangan turut menyasarkan ibu pejabat tentera Israel di Beersheba. Menurut laporan media Israel, Yedioth Ahronoth, sekurang-kurangnya lapan kawasan di Tel Aviv menjadi sasaran serangan peluru berpandu Iran dalam satu malam, mengakibatkan kemusnahan harta benda dan korban jiwa.

Sebagai tindak balas, tentera udara AS bersama Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama di Iran. Antara lokasi yang dilaporkan menjadi sasaran ialah Tehran, Isfahan, Qom, Karaj, Shahriar dan Dezful yang dipercayai menempatkan pelbagai aset strategik ketenteraan Iran.

Dalam masa sama, Iran turut melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan tentera AS di Asia Barat. Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan kemudahan ketenteraan di Bahrain, United Arab Emirates, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan serta wilayah Kurdistan di Iraq termasuk kawasan Erbil dan Baghdad.

Ketegangan turut merebak ke Lubnan apabila tentera udara Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar termasuk Beirut, Saida, Kfar Tebnit, Jebchit dan Nabatieh di selatan negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan bersenjata Hezbollah turut melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke wilayah utara Israel seperti Galilee, Nahariya, Metula dan beberapa kawasan lain di sempadan utara.

Satu insiden lain yang dilaporkan ialah kemalangan sebuah pesawat pengisi minyak udara milik tentera AS, Boeing KC-135 Stratotanker, yang terhempas di Iraq selepas dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pejuang pro-Iran. Insiden tersebut mengorbankan enam anggota tentera AS.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Turkiye memaklumkan, sistem pertahanan udara NATO telah memintas dan menembak jatuh beberapa peluru berpandu yang memasuki ruang udara negara itu sejak konflik Iran bermula.

Dalam satu mesyuarat maya bersama pemimpin negara G7, Presiden Donald Trump menyatakan, Iran semakin hampir untuk menyerah kalah dalam konflik yang sedang berlangsung.

Dalam masa sama, Iran mendakwa telah menyerang kapal pengangkut pesawat AS, USS Abraham Lincoln sehingga mengalami kerosakan serius dan memaksanya berundur dari kawasan operasi.

Laporan oleh The Wall Street Journal menyatakan, Pentagon sedang menggerakkan lebih 5,000 anggota tentera marin AS bersama kapal serangan amfibia USS Tripoli dari Jepun ke Asia Barat bagi memperkukuhkan operasi ketenteraan terhadap Iran.

Perkembangan terkini ini menunjukkan konflik di Asia Barat semakin meluas dan melibatkan pelbagai pihak termasuk negara serantau serta kuasa besar dunia.

Serangan balas antara Iran, AS dan Israel berpotensi mencetuskan konflik yang lebih besar sekiranya tidak ditangani melalui usaha diplomasi dan penyelesaian yang menyeluruh.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *