Faiz Fadzil

Pelaburan Pulau Pinang Lebih Seimbang Berbanding Kedah, Bukti Hala Tuju Ekonomi Madani Berkesan – Faiz

SHAH ALAM – Prestasi pelaburan negeri Kedah yang ditadbir Pas dilaporkan merosot ketara apabila jumlah pelaburan diluluskan bagi tahun 2025 menurun hampir 40 peratus berbanding tahun 2024.

Setiausaha Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nilai pelaburan yang direkodkan sebanyak RM27.8 bilion juga merupakan pencapaian terendah negeri itu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, berdasarkan data rasmi, struktur pelaburan di Kedah masih dilihat sempit dan tidak seimbang apabila hampir 90 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan tertumpu kepada sektor pembuatan sahaja.

“Kebergantungan besar terhadap satu sektor menimbulkan kebimbangan kerana tanpa sokongan kukuh sektor perkhidmatan, negeri itu berisiko ketinggalan dalam usaha membina ekonomi bernilai tinggi.

“Situasi tersebut berbeza dengan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), mempamerkan ekosistem pelaburan lebih pelbagai dan seimbang.

“Bagi tahun 2025, sebanyak 68 peratus pelaburan diluluskan di negeri itu berada dalam sektor pembuatan, manakala 32 peratus lagi dalam sektor perkhidmatan. Secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM32.9 bilion, meningkat berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jumlah itu menjadikan pelaburan Pulau Pinang sekitar 18 peratus lebih tinggi berbanding Kedah.

Dalam pada itu, sebahagian besar projek pelaburan utama di Kedah dilaporkan tertumpu kepada inisiatif yang dipacu oleh Kerajaan Persekutuan seperti Kulim Hi-Tech Park, Kedah Rubber City dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone.

Namun, ujarnya, pembangunan ekonomi negeri berkenaan dilihat masih belum berkembang secara menyeluruh bagi menarik pelaburan besar dalam sektor perkhidmatan, sekali gus mengehadkan usaha mewujudkan struktur pelaburan yang lebih pelbagai.

Muhammad Faiz berkata, kedudukan pelaburan di negeri-negeri menunjukkan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited memacu pembangunan di seluruh negara tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, komitmen tersebut terbukti apabila Kedah masih berjaya menarik lebih RM27 bilion pelaburan diluluskan pada tahun 2025.

“Ini menunjukkan tiada negeri yang dianak tirikan dengan pendekatan politik matang yang ditunjukkan kerajaan MADANI. Halatuju ekonomi yang dipacu kerajaan MADANI terbukti berkesan dalam membangunkan negara secara seimbang dan mampan,” katanya.

Beliau turut berpandangan, kerajaan negeri Kedah perlu memberi tumpuan kepada strategi ekonomi yang lebih proaktif bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Katanya, usaha tersebut lebih penting berbanding terus terlibat dalam polemik politik berkaitan prestasi ekonomi Pulau Pinang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *