Fenomena Khairul Aming: Resipi Setiap Hari Menghidupkan Ramadan

Oleh Dr Rosninawati Hussin

SETIAP kali tibanya Ramadan, selain laungan azan Maghrib yang ditunggu untuk berbuka puasa, ada satu lagi “ritual” baharu muncul dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.

Ramai yang menunggu dengan penuh debaran apakah menu baharu yang akan muncul pada hari tersebut daripada pempengaruh makanan terkenal, Khairul Aming.

Situasi seperti ini bukan lagi sesuatu yang luar biasa sepanjang bulan Ramadan. Dalam beberapa tahun kebelakangan, siri kandungan “30 Hari 30 Resipi” yang dikongsikan oleh Khairul Aming telah berkembang menjadi fenomena digital yang dinantikan oleh ramai pengguna media sosial di negara ini.

Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, merupakan pencipta kandungan digital dan usahawan kelahiran Kelantan yang mula dikenali sekitar tahun 2018 melalui video masakan di media sosial.

Dengan gaya penyampaian yang santai, visual makanan yang menarik serta langkah memasak yang mudah difahami, kandungannya dengan cepat mendapat perhatian pengguna.

Beliau kini mempunyai jutaan pengikut di pelbagai platform, menjadikannya antara pempengaruh makanan tersohor di Malaysia.

Namun, apa yang menjadikan fenomena ini unik bukan sekadar jumlah pengikutnya, tetapi bagaimana kandungan tersebut telah menjadi sebahagian daripada budaya Ramadan masyarakat tempatan.

Resipi yang menjadi ritual harian

Setiap hari sepanjang Ramadan, video resipi baharu yang dimuat naik oleh Khairul Aming sering menjadi topik perbualan di media sosial.

Pengguna bukan sahaja menonton video tersebut, tetapi menantikan idea menu yang boleh dicuba untuk hidangan berbuka puasa.

Dalam konteks komunikasi digital, fenomena ini menunjukkan bagaimana kandungan media sosial mampu membentuk ritual harian pengguna.

Apabila sesuatu kandungan dihasilkan secara konsisten dan mempunyai nilai praktikal dalam kehidupan seharian, ia mampu membina hubungan yang kuat di antara pencipta kandungan dan khalayak.

Ramai pengguna media sosial berkongsi bahawa mereka akan menonton video tersebut terlebih dahulu sebelum merancang menu berbuka pada hari tersebut.

Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa Ramadan kini seakan-akan “tidak lengkap” tanpa siri resipi harian Khairul Aming.

Dapur sebagai ruang silaturahim

Kesan paling menarik fenomena ini sebenarnya berlaku di dapur rumah. Resipi yang dikongsikan bukan sekadar menjadi panduan memasak, tetapi juga mencetuskan aktiviti kekeluargaan.

Mereka menjadikan resipi Khairul Aming sebagai aktiviti bersama sepanjang Ramadan. Apabila tiba waktu petang, ibu, bapa dan anak-anak akan berkumpul di dapur untuk mencuba resipi yang sama. Ada yang memotong bahan, ada yang mengisar, malah mengacau masakan di kuali.

Situasi ini mewujudkan suasana yang meriah dan penuh interaksi dalam keluarga. Dalam era digital yang sering dikaitkan dengan hubungan sosial yang semakin renggang, aktiviti memasak bersama ini sebenarnya menghidupkan kembali nilai kebersamaan dalam keluarga.

Malah dalam kalangan pelajar universiti atau golongan muda yang tinggal bersama rakan, mencuba resipi Khairul Aming sering dijadikan sebagai projek memasak berkumpulan.

Mereka membeli bahan bersama, memasak secara gotong-royong, dan akhirnya menikmati hidangan berbuka yang dihasilkan bersama-sama.

Aktiviti seperti ini secara tidak langsung mengeratkan silaturahim serta menjadikan Ramadan lebih bermakna.

“Kepada Khairul Aming, saya buat…”

Satu lagi elemen yang menarik perhatian dalam fenomena ini ialah kemunculan skrip video yang sering digunakan oleh pengguna media sosial ketika berkongsi percubaan mereka memasak resipi Khairul.

Ramai pengguna akan memulakan video mereka dengan ungkapan yang kini hampir menjadi meme dalam komuniti digital seperti “Kepada Khairul Aming, saya buat… jadikk!!” atau dengan nada yang lebih berseloroh iaitu “Kepada Khairul Aming, saya buat… tak jadikk!!”

Ungkapan ini biasanya diikuti dengan paparan hasil masakan mereka. Ada yang berjaya menghasilkan hidangan yang kelihatan hampir sama seperti dalam video asal, manakala ada juga yang berkongsi kegagalan dengan penuh humor.

Ada juga kisah tentang lesung batu yang pecah ketika menumbuk bahan atau kek yang tidak menjadi seperti yang diharapkan. Walaupun begitu, perkongsian seperti ini sering mengundang gelak ketawa dan sokongan daripada pengguna media sosial lain.

Media sosial yang “dipenuhi” Khairul Aming

Sepanjang Ramadan, platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Thread dan TikTok seolah-olah dipenuhi dengan kandungan berkaitan Khairul Aming.

Pengguna bukan sahaja menonton video resipi tersebut, tetapi turut berkongsi hasil masakan mereka dengan menggunakan tanda pagar berkaitan seperti #khairulaming atau #30hari30resipi.

Setiap hari, ramai pengguna memuat naik gambar dan video hidangan mereka hasilkan berdasarkan resipi yang sama.

Fenomena ini mencipta satu bentuk komuniti digital yang aktif, di mana pengguna berkongsi pengalaman memasak mereka bersama-sama.

Fenomena merentas bangsa dan lapisan masyarakat

Satu lagi aspek menarik fenomena ini ialah penyertaannya yang merentas pelbagai latar belakang masyarakat.

Resipi beliau turut menarik minat pengguna daripada pelbagai kaum di Malaysia, lelaki dan perempuan, orang dewasa juga kanak-kanak tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam mencuba resipi tersebut.

Malah, rakyat Malaysia di luar negara turut mencuba resipi yang sama sebagai cara untuk merasakan suasana Ramadan di perantauan.

Tidak ketinggalan, beberapa selebriti tempatan dilihat turut menyertai fenomena ini. Mereka berkongsi percubaan memasak resipi Khairul Aming di media sosial masing-masing, seolah-olah menjadi “anak murid” kepada pempengaruh masakan tersebut.

Fenomena ini menunjukkan bagaimana kandungan digital mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu pengalaman yang sama.

Lebih daripada sekadar resipi

Kejayaan Khairul Aming juga dapat dilihat dalam bidang keusahawanan digital melalui produk makanan yang dipasarkan secara dalam talian. Namun di sebalik kejayaan komersial tersebut, fenomena yang paling menarik sebenarnya ialah kesan sosialnya.

Satu video resipi yang berdurasi kurang daripada dua minit mampu menggerakkan ribuan orang untuk memasak pada hari tersebut dan turut memeriahkan ruang media sosial.

Dalam konteks komunikasi digital, fenomena ini menggambarkan bagaimana kandungan yang autentik dan konsisten mampu membina komuniti digital yang aktif serta mempengaruhi tingkah laku sosial pengguna.

Tradisi baharu Ramadan

Fenomena Khairul Aming menunjukkan bagaimana budaya digital kini menjadi sebahagian daripada pengalaman Ramadan masyarakat moden.

Jika dahulu masyarakat mencari idea menu berbuka melalui rancangan masakan di televisyen atau buku resipi, hari ini media sosial menjadi ruang utama perkongsian inspirasi masakan.

Namun, di sebalik semua teknologi tersebut, nilai yang terhasil tetap sama iaitu kebersamaan, silaturahim dan kegembiraan berkongsi makanan.

Dalam erti kata lain, fenomena ini membuktikan bahawa kadangkala sesuatu yang sederhana seperti satu resipi sehari mampu menyatukan masyarakat dalam cara yang tidak disangka-sangka.

Sepanjang Ramadan, ruang dapur sama ada di rumah, di asrama mahupun di perantauan seolah-olah berkongsi satu inspirasi yang sama, iaitu nama yang kini hampir sinonim dengan Ramadan di media sosial, Khairul Aming.

Dr Rosninawati Hussin ialah Ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *