KARACHI – Mahkamah Sri Lanka hari ini, mengarahkan pihak hospital menyerahkan jenazah 84 anak kapal Iran kepada Kedutaan Iran di Colombo selepas ditemukan di laut susulan serangan kapal selam Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan.
Majistret Kanan Galle Sameera Dodangoda mengeluarkan perintah itu susulan permohonan yang difailkan oleh polis, lapor saluran media tempatan Daily Mirror.
Jenazah tersebut kini ditempatkan dalam dua unit simpanan sejuk beku mudah alih di sebuah hospital di Galle, bandar pesisir pantai di selatan Sri Lanka.
Mangsa adalah antara mereka yang terkorban selepas kapal selam AS menyerang kapal perang Iran IRIS Dena di perairan berhampiran Sri Lanka Rabu lalu. Tentera Laut Sri Lanka melancarkan misi menyelamat sejurus selepas insiden itu.
Tentera Iran melaporkan, serangan AS itu mengorbankan 104 daripada 130 kru kapal. Bagaimanapun, pihak berkuasa Sri Lanka menyatakan mereka menemukan 84 mayat di laut dan menyelamatkan 32 anak kapal, manakala 14 lagi masih hilang.
Beberapa hari kemudian, Sri Lanka turut memindahkan 208 anak kapal dari sebuah lagi kapal Iran, IRIS Bushehr, selepas ia meminta bantuan daripada Colombo.
Kedua-dua kapal itu dalam perjalanan pulang dari latihan tentera laut Milan Peace 2026 di India.
Sri Lanka pada Isnin menyatakan ia akan memberikan visa selama sebulan kepada anak kapal Iran yang terselamat.
Serpihan dan tong minyak dari kapal IRIS Dena yang karam kemudiannya terdampar di sepanjang kawasan pantai selatan Sri Lanka, mendorong usaha pembersihan dan pemantauan alam sekitar oleh pihak berkuasa, lapor media tempatan. – BERNAMA-ANADOLU
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L