KUALA LUMPUR – Ribuan penunggang motosikal liar yang menjadikan Jalan Semarak dan kawasan sekitarnya sebagai medan aksi berbahaya tidak dapat meloloskan diri apabila digeledah dalam operasi bersepadu besar-besaran pihak berkuasa awal pagi tadi.
Operasi bermula jam 8 malam hingga 5 pagi oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dan JPJ itu menumpukan Jalan Semarak, Jalan Pahang dan Jalan Genting Kelang – kawasan yang terkenal sebagai ‘hotspot’ mat rempit.
Tinjauan wartawan mendapati ramai penunggang melakukan aksi berbahaya seperti wheelie dan lumba haram yang mengganggu pengguna jalan lain, termasuk berhampiran Institut Jantung Negara (IJN). Dalam satu insiden dramatik, seorang lelaki meninggalkan motosikal dan melarikan diri apabila laluan penuh dikepung polis.
Timbalan Ketua JSPTKL, Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan, kira-kira 2,000 kenderaan diperiksa dengan 797 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 80 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
“Rata-rata penunggang berusia antara 15 hingga 21 tahun. Seorang remaja 19 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Selain itu, polis mengesan seorang lagi penunggang yang melarikan diri. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Suffian menegaskan, kawasan itu sering menerima aduan kerana gangguan bunyi, keselamatan jalan raya, dan risiko kepada pesakit hospital berhampiran.
“Kita tidak akan berkompromi. Aktiviti ini bukan sekadar gangguan – ia membahayakan nyawa penunggang dan orang awam,” ujarnya.
Operasi malam tadi menandakan tindakan paling tegas pihak berkuasa setakat ini terhadap kumpulan mat rempit di ibu kota, mengirim amaran jelas aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya tidak akan lagi diterima.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L