Lelaki Disyaki Ancam Zamri Ditahan Polis di Bukit Mertajam

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam insiden ancaman terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth dalam satu tangkapan yang dilakukan di sekitar Bukit Mertajam awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurut beliau, laporan dibuat oleh Zamri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebelum polis melancarkan tindakan susulan yang membawa kepada penahanan suspek.

“Polis mengesahkan menerima laporan daripada Zamri dan satu tangkapan telah dibuat awal pagi tadi. Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Azizee berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Terdahulu, Zamri memuat naik rakaman video berdurasi 19 saat di Facebook yang memaparkan kenderaannya dihampiri sebuah motosikal ditunggang dua lelaki sebelum beberapa individu lain turut datang menghampiri.

Dalam rakaman itu, kenderaan tersebut kemudian dilihat melanggar motosikal berkenaan dalam keadaan tegang.

Insiden berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan penceramah itu dalam membangkitkan isu berkaitan sebuah rumah ibadat kecil yang terletak berhampiran sebuah hospital di Pulau Pinang.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta memastikan semua pihak yang terlibat diambil tindakan mengikut undang-undang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *