Hizbullah beri amaran penduduk utara Israel pindah segera

BEIRUT – Kumpulan Hizbullah, Lubnan mengeluarkan amaran kepada penduduk di penempatan Kiryat Shmona dan Nahariya di utara Israel agar segera berpindah ke arah selatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penempatan Nahariya terletak di kawasan Galilee Barat di utara Israel berhampiran sempadan Lubnan, manakala Kiryat Shmona berada di bahagian paling utara negara itu di kawasan yang dikenali sebagai Galilee Panhandle.

Amaran itu dikeluarkan ketika tentera Israel turut mengarahkan penduduk di beberapa kawasan di Lubnan agar berpindah ke lokasi lain, menurut laporan itu.

“Amaran: Semua penduduk Kiryat Shmona dan Nahariya diminta berpindah segera dan menuju ke selatan,” kata Hizbullah dalam satu hantaran di aplikasi Telegram pada Sabtu yang disertakan dengan dua imej penempatan itu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Lubnan memaklumkan, jumlah kematian akibat serangan Israel di Lubnan sejak Isnin lalu hingga petang Sabtu meningkat kepada 294 orang dengan 1,023 lagi cedera.

Serangan yang semakin meningkat itu memaksa ratusan ribu penduduk berpindah serta menyebabkan kemusnahan besar terhadap bangunan kediaman, tempat ibadat dan infrastruktur, menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu berlaku ketika Israel memperluas kempen ketenteraannya di Lubnan sejak Isnin, susulan tembakan roket terhad oleh Hizbullah di tengah-tengah ketegangan serantau yang lebih luas akibat perang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

Israel dilaporkan membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 yang lain dalam serangan di Lubnan yang bermula pada Oktober 2023 dan meningkat menjadi perang berskala penuh pada September 2024.

Walaupun perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah dimeterai pada November 2024, Israel didakwa terus melakukan pelanggaran hampir setiap hari, yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh dan cedera.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *