Tiga Lelaki Didakwa Cetus Pergaduhan di Balai Polis Meru, Mengaku Tidak Bersalah

KLANG – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang hari ini, atas pertuduhan mencetuskan pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki serta merosakkan harta kerajaan di Balai Polis Meru pada 2 Mac lalu.

Tertuduh, P Gopinath, 39; B Kalairasan, 38; dan A Magendran, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Azilah Mat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan bersama Salman Al Farisi Nawawi, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam A. Biranta.

Mengikut pertuduhan utama, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, M Naviedran, menggunakan topi keledar dan batang besi di dalam balai polis berkenaan sekitar jam 9.47 malam pada tarikh kejadian.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh turut berdepan pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dalam bangunan polis dengan membuat bising serta bergaduh, yang didakwa di bawah Akta Polis 1967, yang membawa hukuman denda sehingga RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pertuduhan berasingan, Gopinath yang bekerja sebagai kelindan lori didakwa mengeluarkan ugutan jenayah dengan menyatakan mahu memukul seorang lelaki di lokasi.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Kalairasan yang juga pemandu lori didakwa merosakkan sebuah televisyen milik kerajaan di balai polis berkenaan, menyebabkan kerugian kepada pihak berkuasa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan Gopinath dan Kalairasan diikat jamin sebanyak RM13,000 tiap seorang, manakala Magendran dibenarkan diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh turut diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa atau saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian kekecohan di balai polis berkenaan dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan awal mendapati suspek yang ditahan saling mengenali dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Menurut beliau, semakan juga mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan jenayah kekerasan seperti bunuh, cubaan membunuh, samun berkumpulan dan pecah rumah, malah seorang daripada mereka dilaporkan berada dalam senarai dikehendaki polis.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *