KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mencatat pendapatan lebih rendah sebanyak RM266.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), susut 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia susulan purata harga direalisasi yang lebih rendah, pengurangan jumlah jualan, kesan pertukaran asing serta pelupusan Engen Group.
Bagi FY2025, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) merosot 18 peratus kepada RM45.4 bilion, sejajar dengan penurunan hasil, namun sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Syarikat minyak dan gas nasional itu juga turut mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) lebih rendah sebanyak RM103.0 bilion, berkurangan 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, selari dengan keuntungan yang lebih rendah.
Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM85.2 bilion, seiring dengan EBITDA yang lebih rendah.
Perbelanjaan modal (CAPEX) pula berjumlah RM41.6 bilion, terutamanya disalurkan kepada aktiviti pembangunan dan pengeluaran segmen huluan.
Peruntukan modal memberi keutamaan kepada projek bernilai tinggi dan berdaya saing dengan tumpuan terhadap pengewangan awal serta penambahbaikan kualiti portfolio secara berterusan.
Jumlah aset keseluruhan PETRONAS mengukuh kepada RM775.0 bilion.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, ekuiti pemegang saham berkurangan kepada RM448.3 bilion, terutamanya mencerminkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham serta pergerakan pertukaran asing, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang dicatatkan dalam tempoh itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata prestasi berdaya tahan yang dicapai pada 2025 diraih dalam persekitaran operasi yang mencabar dan tidak menentu.
Beliau berkata, keputusan kewangan itu membuktikan komitmen kumpulan terhadap pengurusan kewangan berhemat dan pertumbuhan berdisiplin.
Katanya, dalam keadaan pasaran tidak menentu dan kos yang meningkat, PETRONAS menumpukan usaha memperkukuh daya tahan portfolio menerusi perkongsian strategik, penambahbaikan kualiti portfolio dan inisiatif penjanaan nilai lain.
“Semua usaha ini bertujuan memastikan institusi ini kekal berada pada kedudukan strategik untuk terus menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam jangka panjang.
“Cabaran geopolitik dalam industri dijangka berterusan dan bagi menanganinya, PETRONAS akan terus memperkukuh portfolio serta kedudukan kewangan bagi memastikan syarikat kekal berupaya membekalkan tenaga dan penyelesaian secara selamat, andal dan bertanggungjawab kepada pelanggan,” katanya selepas taklimat media prestasi kewangan FY2025 PETRONAS di sini hari ini.
Bagi separuh kedua FY2025, hasil merosot kepada RM133.6 bilion berikutan purata harga direalisasi lebih rendah, khususnya bagi gas asli cecair (LNG), minyak mentah dan kondensat serta produk petroleum, selain kesan pertukaran asing.
PAT bagi tempoh itu menyusut 15 peratus kepada RM19.2 bilion, sejajar dengan hasil yang lebih rendah dan kerugian rosot nilai bersih ke atas aset.
EBITDA pula berkurangan tiga peratus kepada RM48.6 bilion, mencerminkan keuntungan yang lebih rendah. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
