KUALA LUMPUR – Cropmate Bhd. (Cropmate), pemain utama industri pembuatan baja konvensional dan khusus di Malaysia, melakar sejarah baharu apabila mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.7 juta bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025 (TK2025).
Pencapaian itu adalah paras tertinggi sejak syarikat itu ditubuhkan, sekali gus mencerminkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 23.5 peratus berbanding RM11.9 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan itu disokong oleh lonjakan hasil syarikat yang kini mencecah RM196.5 juta bagi TK2025, meningkat 22.3 peratus daripada RM160.7 juta pada TK2024. Sebagai rekod, sejak mula beroperasi pada 2018, hasil syarikat telah berkembang secara drastik daripada hanya RM9.9 juta kepada nilai hampir RM200 juta pada tahun ini.
Jualan domestik terus menjadi nadi utama prestasi Cropmate dengan menyumbang kira-kira 97.1 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan. Permintaan tinggi itu didorong terutamanya oleh sektor ladang kelapa sawit dan dusun durian di Malaysia.
Bagi menghargai prestasi cemerlang itu, Lembaga Pengarah telah mencadangkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 0.6 sen sesaham biasa untuk TK2025, yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.
Pengarah Urusan Cropmate, Lee Chin Yok berkata, TK2025 menandakan tahun pelaksanaan yang stabil dan pengembangan operasi yang konsisten bagi syarikat itu.
“Pertumbuhan hasil dan keuntungan kami mencerminkan permintaan yang berterusan daripada sektor perladangan Malaysia dan keupayaan kami untuk beroperasi dengan cekap berikutan penyenaraian Pasaran ACE.

Kami amat terujaa oleh peningkatan dalam pendapatan dan daya tahan margin meskipun turun naik dalam jumlah jualan suku tahunan,” katanya.
Bagi perancangan masa hadapan, syarikat itu telah memuktamadkan pengambilalihan dua lot kilang iaitu Lot 8949 dan Lot 8950 bagi meningkatkan kapasiti operasi dan menyokong inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sehingga 24 Februari 2026, sebanyak RM41.6 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM42 juta telah digunakan untuk modal kerja, perbelanjaan modal, dan pemerolehan hartanah.
Meskipun fokus kepada pasaran tempatan, produk baja keluaran syarikat pengeluar baja pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia itu turut mendapat permintaan stabil dari pasaran luar negara termasuk Kemboja, Singapura, India, Indonesia, Vietnam, Sri Lanka, Mauritius dan Jepun.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L