Umat Islam Malaysia mula berpuasa Esok

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara akan mula menunaikan ibadah puasa esok, Khamis, 19 Februari sebagaimana diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Beliau memaklumkan, tarikh permulaan Ramadan bagi negeri-negeri di Malaysia ditetapkan menurut perintah Sultan Ibrahim setelah mendapat perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Pengumuman rasmi itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan bertarikh 12 Februari memaklumkan bahawa 29 Syaaban 1447 Hijrah ditetapkan sebagai hari cerapan anak bulan Ramadan bagi menentukan tarikh awal puasa. Majlis Raja-Raja turut memperkenankan kaedah penentuan awal Ramadan dibuat berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara diperkenankan untuk cerapan anak bulan. Antara lokasi terlibat ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan; serta beberapa lokasi di Selangor termasuk Bukit Melawati, Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.

Turut terlibat ialah Pantai Pasir Panjang di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah; beberapa lokasi di Terengganu seperti Bukit Besar dan Pulau Perhentian; serta beberapa lokasi di Kelantan termasuk Bukit Peraksi dan Menara SEDC di Kota Bharu.

Selain itu, cerapan turut dijalankan di Sarawak melibatkan Pusat Falak Miri dan Teluk Bandung, Kuching; di Sabah seperti Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; serta di Pahang termasuk Bukit Tanjong Batu dan Menara Kuantan 188. Lokasi lain termasuk Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.

Dengan pengumuman ini, umat Islam di Malaysia akan memulakan ibadah puasa Ramadan serentak pada Khamis, 19 Februari.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *