Polis teliti Himpunan Aman #TangkapAzamBaki, pastikan tiada unsur 3R

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap Himpunan Aman #TangkapAzamBaki di ibu negara semalam, walaupun perhimpunan itu berakhir secara aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, proses semakan melalui risikan dan pemerhatian dari awal hingga tamat himpunan bagi memastikan tiada isu yang menyentuh sensitiviti berkaitan perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

“Walaupun perhimpunan berjalan lancar, polis akan meneliti setiap aspek bagi memastikan tiada kandungan yang menimbulkan masalah berkenaan 3R. Sekiranya terdapat sebarang isu, tindakan segera akan diambil termasuk membuka siasatan lanjut,” kata beliau.

Beliau menegaskan, perhimpunan berjalan tanpa sebarang kejadian yang menjejaskan ketenteraman awam dan polis amat menghargai kerjasama penganjur serta orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa.

Perhimpunan bermula kira-kira jam 4 petang di kawasan pusat beli-belah Sogo sebelum bergerak perlahan ke Dataran Merdeka, dan berakhir sekitar jam 6.30 petang dengan pemantauan rapi daripada polis.

“Anggaran kehadiran lebih kurang 200 orang termasuk penganjur dan penceramah. Sebanyak 600 anggota polis dikerahkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perhimpunan,” katanya.

Beliau berkata, anggota yang terlibat termasuk daripada IPD Dang Wangi, IPK Kuala Lumpur serta bantuan dari kawasan berhampiran bagi memastikan pemantauan menyeluruh sepanjang perhimpunan.

Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki dengan tujuan menyuarakan beberapa tuntutan berkaitan isu rasuah dan kebertanggungjawaban institusi penguat kuasa.

Peserta membawa pelbagai sepanduk menuntut tindakan tertentu, manakala beberapa ucapan disampaikan sepanjang acara berlangsung sebelum himpunan berakhir tanpa insiden.

Katanya, polis akan terus memantau sebarang aktiviti berkaitan dan memastikan setiap langkah keselamatan diambil demi mengekalkan ketenteraman awam.

“Kerjasama daripada penganjur dan masyarakat amat penting. Ini membolehkan perhimpunan berjalan dengan aman tanpa mengganggu keamanan bandar dan masyarakat sekitar,” katanya. 

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang turut hadir pada perhimpunan itu mengingatkan Azam supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan semasa ketika isu melibatkan dirinya masih diperkatakan.

Tegasnya, walaupun Azam menyatakan kesediaan untuk berdepan siasatan dan mendakwa tidak gentar disiasat, skop siasatan yang berjalan ketika ini dilihat masih terhad.

Beliau mendakwa penelitian yang dibuat setakat ini hanya menjurus kepada isu pemilikan saham dan belum merangkumi dakwaan lain yang lebih serius.

Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada semua aspek telah diteliti secara menyeluruh dan bebas tanpa sebarang kekangan.

Pada masa sama, Rafizi turut membangkitkan kepentingan kewujudan badan siasatan yang benar-benar bebas bagi memastikan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap proses berkenaan.

Menurutnya, keyakinan seseorang pemimpin bahawa dirinya tidak akan terjejas boleh berubah sekiranya sentimen rakyat bertukar arah.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan dalam kerajaan atau sokongan mana-mana pihak bukan jaminan mutlak untuk kekal selamat daripada tekanan awam.

“Dia mungkin merasakan dirinya cukup kuat atau mempunyai perlindungan tertentu.

“Tetapi jangan terlalu yakin. Siasatan yang dibuat sekarang hanya tertumpu kepada pemilikan saham. Tuduhan lain yang lebih berat masih belum disentuh secara menyeluruh,” katanya.

Rafizi menjelaskan, sejarah politik negara menunjukkan bahawa perubahan boleh berlaku apabila rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati secara berterusan.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai ruang untuk membuat penilaian semula terhadap kepimpinan negara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun melalui pilihan raya.

Dalam pada itu, Azam dilaporkan menyifatkan himpunan dan demontrasi terhadap dirinya bukan perkara baharu.

Beliau juga tidak mahu menyatakan dengan lanjut mengenai himpunan itu kerana ia hak masing-masing.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *