Hamzah isytihar penentang utama Muhyiddin, tanda fasa baharu krisis dalaman Bersatu

SHAH ALAM – Enam tahun selepas kemunculannya sebagai arkitek organisasi dalam Parti Bersatu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali mencuri tumpuan di pentas politik nasional apabila secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai penentang nombor satu Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lokasi yang sama di Universiti Malaya Alumni Clubhouse (PAUM), pernah menjadi saksi kebangkitan Hamzah sebagai Setiausaha Agung Bersatu ketika parti itu bergelut dengan perpecahan dalaman pada 2020.

Ketika itu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi yang memuktamadkan pemecatan pengasas parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad, satu episod yang mengubah landskap politik negara susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rentetan pergolakan politik akibat gerakan lompat parti yang dikaitkan dengan kumpulan diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhyiddin kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala Hamzah menyertai Kabinet sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Hubungan strategik kedua-dua tokoh ini dilihat sebagai tunjang kestabilan dalaman parti pada ketika itu.

Namun, dinamika tersebut berubah secara drastik apabila Hamzah dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu bersama 16 pemimpin dan Ahli Parlimen lain atas dakwaan cuba menjatuhkan presiden serta mencemarkan imej parti.

Tindakan disiplin itu memperlihatkan pertembungan terbuka antara dua kutub kuasa dalam Bersatu.

Sehari selepas pemecatannya, Hamzah kembali ke PAUM dalam satu himpunan yang mengangkat slogan “Reset”, menyeru perubahan arah tuju politik. Kehadirannya disambut ratusan penyokong berpakaian putih, simbolik kepada agenda pembaharuan yang cuba digerakkannya.

Dalam ucapan yang sarat mesej politik, Hamzah menegaskan, beliau tidak akan merayu keputusan pemecatan tersebut. Malah, beliau menyifatkan situasi dalam parti sebagai tidak lagi jelas dan menimbulkan persoalan terhadap kepimpinan sedia ada.

“Saya berdiri sebagai penentang nombor satu presiden,” tegasnya, menandakan peralihan daripada penyokong utama kepada pencabar terbuka.

Hamzah turut mengingatkan, beliau masih memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, sekali gus memberi isyarat kedudukannya dalam arena politik nasional tidak terjejas meskipun berdepan tindakan parti.

Dalam mesej yang lebih luas, beliau menekankan keperluan kepimpinan berteraskan keikhlasan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya bersandar kepada warisan keluarga atau latar belakang agama semata-mata.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai sindiran langsung terhadap budaya politik berasaskan hierarki dan pengaruh tradisi.

Perkembangan ini menandakan fasa baharu dalam krisis dalaman Bersatu, dengan kemungkinan pembentukan blok baharu atau penjajaran semula kuasa dalam kalangan pembangkang.

Persoalan kini tertumpu kepada sama ada konflik terbuka ini akan membawa kepada perpecahan formal, atau menjadi pemangkin kepada rundingan kuasa yang baharu dalam parti tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *