Hari Radio Sedunia: Medium Komunikasi Yang ‘Hidup”

Oleh: Prof. Dr. Norhafezah Yusof

Radio terus kekal sebagai antara medium komunikasi paling berpengaruh dan relevan, meskipun landskap penyiaran mengalami perubahan drastik susulan perkembangan teknologi digital, kemunculan pelbagai platform baharu serta perubahan pola dan tingkah laku audiens yang semakin dinamik.

Namun demikian, radio tetap teguh menjalankan peranan sebagai pendidik, penghubung masyarakat serta wahana yang mencetus pemikiran. Walaupun tren semasa dengan kemajuan teknologi dan dinamika sosio-politik membentuk agenda penyiaran, radio masih mempunyai kelompok pendengar setia yang terus menghargai keistimewaannya.

Sejarah kewujudan radio di negara ini bermula apabila pihak British memperkenalkannya di sekitar awal 1920-an sebelum penubuhan Radio Malaya pada 1946 yang memperluas penyiaran berbahasa tempatan.

Selepas merdeka, kerajaan meningkatkan fungsi radio sebagai medium penyatuan masyarakat dengan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar merentas bahasa serta budaya masyarakat pelbagai kaum dan etnik.

Peranan tersebut kemudiannya diperkukuhkan oleh stesen-stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), stesen-stesen dikendalikan oleh agensi kerajaan dan swasta yang kini bersiaran melalui lebih 60 stesen di seluruh negara.

Dari analog ke digital

Penulis amat menghargai ketabahan dan dedikasi para penyampai radio serta pasukan teknikal yang menggerakkan operasi konti. Jika dahulu radio bersifat konvensional dan sepenuhnya analog, kini ia berevolusi menjadi platform digital yang lebih interaktif dan inklusif.

Mengimbau bait lagu penyanyi Dato’ Zainal Abidin, “Hanya di radio ku mendengar suaramu,” kita melihat bagaimana suara penyampai radio masih menjadi pengikat emosi pendengar, walaupun bentuk penyiaran telah berubah mengikuti perkembangan zaman.

Malah, personaliti radio hari ini tampil lebih menonjol dan dekat dengan masyarakat. Mereka bukan sahaja dikenali melalui suara, tetapi melalui kehadiran aktif di media sosial serta undangan ke pelbagai acara formal dan tidak formal.

Medium penyatuan rakyat

Fenomena ini menegaskan bahawa radio bukan sekadar saluran hiburan, tetapi medan pembentukan pandangan dan budaya, selain menjadi platform yang menyatukan rakyat melalui perkongsian cerita, humor, muzik dan refleksi harian.

Sempena sambutan Hari Radio Sedunia pada 13 Februari, penulis merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada semua penyampai radio dan seluruh warga kerja di sebalik tabir yang saban hari menghiburkan rakyat, menyebarkan maklumat sahih serta mendidik melalui tutur kata yang membina.

Tidak keterlauan jika dikatakan tanpa radio di sisi, kemungkinan kehidupan manusia menjadi sunyi dan sepi kerana tiada lagu yang menghiburkan, tiada suara celoteh penyampai dan tiada maklumat berita terkini yang menjadi keperluan pendengar.   

Selamat menyambut Hari Radio Sedunia, daripada penulis yang setia sejak dahulu, kini dan selamanya. Sesungguhnya, radio dan masyarakat berpisah tiada.

Profesor Dr. Norhafezah Yusof adalah Exco Biro Pengantarabangsaan dan Perhubungan Industri-Komuniti, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor Komunikasi, Universiti  Utara Malaysia.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *