Isu Rumah Ibadat Jangan Dipolitikkan, Semua Pihak Wajib Patuh Undang-Undang – Titah Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar sebarang isu berkaitan agama, termasuk pembinaan rumah ibadat, tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara.

Seri Paduka menegaskan Malaysia dibina atas asas keharmonian masyarakat majmuk, dengan kekuatan negara terletak pada sikap saling menghormati, toleransi serta pematuhan terhadap undang-undang.

Menurut baginda, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai tersebut demi kepentingan bersama, termasuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam hal penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat.

“Sebarang isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim turut mengimbau pengalaman peribadi baginda pada Januari 2018 ketika berperanan sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.

“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi,” titah baginda.

Seri Paduka menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan berkaitan pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan menerusi saluran yang sah dan mengikut lunas undang-undang, demi memastikan keharmonian, toleransi serta semangat muhibah terus terpelihara.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh mencetuskan salah faham, perpecahan dan menggugat keamanan negara.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *