SEREMBAN – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan bertindak segera dan berhemah terhadap pembinaan rumah ibadat baharu yang tidak berlesen bagi mengelakkan isu berlarutan serta memastikan keharmonian masyarakat dan perancangan pembangunan lebih tersusun.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, tindakan awal dan penguatkuasaan berterusan amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta pertikaian pada masa hadapan.
Menurutnya, sebarang pembinaan rumah ibadat baharu tanpa kelulusan perlu ditangani segera selaras peruntukan undang-undang sedia ada, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekiranya pembinaan rumah ibadat baharu tidak mendapat kelulusan, tindakan perlu diambil pada peringkat awal. Jika dibiarkan, isu yang sama boleh berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang dan menjadi lebih sukar untuk diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, Arul menegaskan, bagi rumah ibadat yang telah lama wujud, pendekatan secara harmoni dan melalui rundingan perlu diberi keutamaan bagi menjaga sensitiviti serta keharmonian masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Pangsa Senawang 2 di sini, bagi meninjau kerja naik taraf tangki air dan sistem retikulasi yang telah siap dilaksanakan.
Projek naik taraf itu melibatkan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kos keseluruhan sebanyak RM497,297.
Mengulas lanjut, Arul berkata, sekiranya terdapat tanah yang dikenal pasti sesuai untuk tujuan ibadat, pihak berkepentingan boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mewartakan kawasan tersebut sebagai tanah rizab rumah ibadat.
“Sekiranya kawasan itu tidak sesuai, lokasi alternatif boleh dicadangkan supaya keperluan ibadat dapat dipenuhi tanpa menjejaskan perancangan pembangunan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri telah menetapkan syarat perancangan jelas bagi pembangunan baharu, termasuk kewajipan penyediaan tanah untuk kemudahan rumah ibadat.
“Bagi pembangunan yang mempunyai populasi sekitar 10,000 penduduk, pemaju diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 0.4 hektar tanah untuk rumah ibadat bukan Islam dan setakat ini, pemaju mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara menegaskan, kerajaan tidak akan membenarkan pembinaan mana-mana rumah ibadat secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan, bagi memastikan keselamatan, ketertiban serta kematangan negara pada masa hadapan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
