Sepakan kala jengking Solanke sekat City

LONDON – Sepakan kala jengking Dominic Solanke yang memukau menghadirkan tamparan besar terhadap misi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City apabila Tottenham bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola tampak selesa meraih kemenangan selepas Rayan Cherki dan Antoine Semenyo meledak gol pada babak pertama di utara London.

Namun Solanke merapatkan jurang selepas rehat sebelum menghasilkan calon gol terbaik musim ini untuk mengikat kedudukan buat Tottenham.

Penyudah berani penyerang England itu mengingatkan kepada jaringan akrobatik legenda Olivier Giroud bersama Arsenal ketika menentang Crystal Palace pada tahun 2017.

Aksi magis Solanke itu sebenarnya paling menguntungkan seteru setempat Tottenham di utara London.

Sebahagian penyokong Tottenham mungkin tidak terlalu kecewa andai mereka tewas, memandangkan City dilihat satu-satunya harapan realistik untuk menghalang Arsenal menjulang gelaran buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.

Namun kemenangan besar Arsenal 4-0 ke atas Leeds kelmarin, menyebabkan City tidak lagi mempunyai ruang melakukan kesilapan dan pasukan di tangga kedua kendalian Guardiola kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga.

Dengan Aston Villa di tempat ketiga turut tewas kepada Brentford malam tadi, ia menjadi hujung minggu yang sempurna buat Arsenal.

Kemenangan membantu Tottenham mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menerusi kejayaan menewaskan Eintracht Frankfurt, Rabu lalu sekali gus mengukuhkan harapan Thomas Frank untuk mengelak pemecatan dan kebangkitan penuh semangat itu menjadi tonik tambahan buat pengurus dari Denmark itu.

Dua kemenangan berturut-turut 2-0 City ke atas Wolves dan Galatasaray sebelum ini masih belum mampu menghilangkan tanggapan pasukan Guardiola jauh daripada prestasi terbaik.

Sekali lagi mereka mempamerkan aksi tidak konsisten yang menonjolkan kemerosotan berbanding kelompok yang pernah memenangi enam gelaran dalam tujuh musim sebelum kempen lalu.

City hanya meraih satu kemenangan dalam enam aksi liga terakhir, sekali gus membuka ruang kepada Arsenal untuk kembali meraih pencapaian positif selepas prestasi mereka sendiri sebelum ini merosot. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *