BANGI – Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai sebuah gabungan yang utuh dengan penyertaan empat parti komponen, dan tiada sebarang isu berkaitan kerjasama dalam kalangan parti-parti terlibat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak pernah mengetepikan mana-mana parti dalam gabungan berkenaan, sebaliknya semua komponen PN bergerak seiring dalam memperkukuh kerjasama politik.
“PN ini sememangnya terdiri dari empat parti dan semuanya bersama dalam gabungan ini. Tiada sebarang masalah,” katanya yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN.
Menurut beliau, kerjasama yang sama turut dapat dilihat di peringkat pentadbiran negeri apabila PN kini mentadbir empat negeri, termasuk Perlis, yang masih kekal di bawah gabungan tersebut.
“Di peringkat negeri juga sama. Kita mentadbir empat negeri termasuk Perlis dan semuanya masih berada di bawah PN. Tidak timbul sebarang isu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Permukiman Pas yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut menafikan dakwaan bahawa parti itu berhasrat mengetepikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada kepimpinan PN.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa Pas komited untuk meneruskan semangat perpaduan dalam PN, dan perkara tersebut turut disentuh dalam permukiman tahunan parti, walaupun tidak dibincangkan secara terperinci.
Isu berkenaan timbul susulan dakwaan wujud serangan berterusan terhadap Muhyiddin, baik dari dalam mahupun luar parti, yang didakwa bertujuan memaksanya berundur daripada kepimpinan PN atau menjayakan agenda yang digelar sebagai ‘Muhyiddin Exit’.
Bekas Setiausaha Politik Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, dilaporkan mendakwa terdapat individu dalam Bersatu serta parti rakan PN yang secara terbuka mengkritik Presiden Bersatu itu.
Beliau turut mendakwa bahawa terdapat pihak yang beranggapan masalah dalam PN akan dapat diselesaikan sekiranya Muhyiddin berundur, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan wakil Pas sebagai Pengerusi PN.
Selain itu, Marzuki turut mendakwa cadangan penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif PN bukan bertujuan memperkukuh gabungan, sebaliknya untuk mengehadkan kuasa Pengerusi PN.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L