PRK Kinabatangan, Lamag: Ketiadaan Pas dan Bersatu Undang Persoalan

Dari Meja Editorial

SEBANYAK 36 pusat pengundian melibatkan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak jam 7.30 pagi ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kesemua pusat mengundi akan ditutup selewat-lewatnya jam 5.30 petang, dengan dua pusat ditutup lebih awal pada jam 12 tengah hari, manakala selebihnya ditutup secara berperingkat mulai jam 1 tengah hari mengikut jadual yang ditetapkan.

PRK ini melibatkan seramai 48,282 pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu bagi kedua-dua kawasan tersebut, dengan proses penjumlahan rasmi undi dijadualkan berlangsung di Dewan Sri Lamag, dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan sekitar jam 10 malam.

Seramai 1,106 petugas SPR ditugaskan sepanjang hari pengundian, dibantu 926 pegawai dan anggota polis bagi memastikan kelancaran dan keselamatan proses demokrasi itu.

Sebelum ini, SPR memaklumkan 93 peratus anggota polis atau 176 pengundi awal telah mengundi pada Selasa lalu di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

Bagi Parlimen Kinabatangan, persaingan tiga penjuru menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar berdepan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, DUN Lamag menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu. Pada PRU15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, manakala pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, beliau memenangi kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan lima penjuru.

Perhatian pemerhati politik dalam PRK kali ini turut tertumpu kepada ketiadaan Pas dan Bersatu, dua parti utama dalam Perikatan Nasional (PN), yang memilih untuk tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.

Walaupun tiada kenyataan rasmi menyebut punca sebenar, beberapa penganalisis berpendapat keputusan itu berkemungkinan besar dipengaruhi prestasi kedua-dua parti berkenaan pada PRN Sabah ke-17 bulan lalu, di mana PN gagal mencatat keputusan memberangsangkan, khususnya di kawasan luar bandar Pantai Timur Sabah yang secara tradisinya dikuasai BN dan parti tempatan.

Ada juga pandangan, Pas dan Bersatu mengambil pendekatan realistik dengan mengelak pertembungan yang berisiko menjejaskan momentum nasional, terutama selepas beberapa siri kekalahan di peringkat negeri.

Langkah tidak bertanding ini dilihat sebagai usaha mengelakkan kehilangan deposit serta mengurangkan implikasi psikologi kekalahan baharu terhadap penyokong.

Selain itu, faktor kekuatan jentera tempatan dan sentimen pengundi Sabah yang cenderung kepada parti berakar umbi turut dipercayai menjadi pertimbangan utama.

Dalam konteks ini, PRK Kinabatangan dan Lamag dilihat lebih sebagai pertembungan BN–Warisan, sekali gus memperkukuh naratif bahawa politik Sabah masih didominasi pemain tradisional negeri itu.

PRK ini bukan sahaja menjadi ukuran sokongan pengundi terhadap parti bertanding, malah dilihat sebagai petunjuk awal landskap politik Sabah pasca PRN serta isyarat penting kepada parti nasional mengenai cabaran sebenar menembusi politik tempatan di negeri tersebut. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *