Isu tular ‘Yeye’: Siasatan terhadap 21 pegawai ATM akan dibawa ke peringkat perundangan – Khaled

KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit aktiviti tidak bermoral, dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ seperti tular di media sosial baru-baru ini, akan beralih kepada proses perundangan dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pegawai berkenaan masih bertugas seperti biasa dan berhak membela diri apabila proses perundangan dilaksanakan nanti.

“Mereka sedang disiasat dan apabila selesai (siasatan), ia akan beralih kepada proses perundangan, sudah tentu mereka ada hak untuk membela diri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan, larangan berkaitan pengambilan minuman keras dan membawa tetamu bukan ahli keluarga ke dalam mess sememangnya telah lama termaktub dalam peraturan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, kemasukan tetamu ke dalam mess hanya dibenarkan melibatkan ahli keluarga, manakala membawa individu lain tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan dan diketahui oleh anggota terlibat.

Sehubungan itu, katanya, insiden berlaku itu adalah pelanggaran peraturan oleh segelintir individu, bukannya satu budaya yang diamalkan secara meluas dalam ATM seperti digambarkan di media sosial.

“Di media sosial seolah digambarkan ini adalah budaya biasa dalam ATM, sedangkan sebenarnya peraturan sudah jelas,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan tegas akan diambil dan sekiranya didapati bersalah, hukuman maksimum termasuk penamatan perkhidmatan boleh dikenakan.

Pada 5 Januari lalu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, kata Mohamed Khaled, MINDEF dan ATM sudah lama mengharamkan kegiatan tidak bersahsiah di semua kem seluruh negara.

“Kita telah menetapkan peraturan dan garis panduan jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem terutama selepas penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang sepatutnya membendung sebarang unsur mungkar dalam kalangan anggota.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, individu yang mencemarkan nama baik ATM dengan perbuatan mungkar, haram dan tidak bermoral sama sekali bukan cerminan akhlak dan kewibawaan pasukan itu.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, wajah sebenar ratusan ribu anggota ATM adalah keperkasaan dan pengorbanan luar biasa, pahlawan yang bersih integritinya, yang setia berkhidmat dengan ikhlas, mengutamakan amanah dan sangat bertanggungjawab.

“Mereka tidak terlibat dengan sebarang unsur tidak bermoral dan yang gigih mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengharapkan balasan yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *