SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengkritik pihak tertentu yang menggesa supaya parti itu menghormati ketetapan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan pengerusi baharu, dengan menegaskan prinsip saling menghormati perlu diamalkan secara konsisten oleh semua pihak.
Walaupun tidak menamakan secara khusus individu atau parti yang dimaksudkan, kenyataan Afnan dipercayai merujuk kepada gesaan Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, yang sebelum ini meminta semua pihak memberi ruang kepada setiap parti komponen PN untuk membuat keputusan dalaman masing-masing berkaitan pelantikan kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Afnan mempersoalkan keikhlasan gesaan tersebut dengan mengimbau beberapa tindakan lalu yang menurutnya menunjukkan ketidakhormatan terhadap rakan gabungan.
“Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi perdana menteri, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan?” soalnya.
Beliau turut merujuk kepada perkembangan politik di Perlis, yang menyaksikan beberapa pemimpin menandatangani akuan berkanun (SD) sehingga membawa kepada kejatuhan menteri besar daripada parti rakan gabungan.
“Masa orang parti kamu sign SD di Perlis baru-baru ini, menjatuhkan menteri besar daripada parti rakan dan mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian serta ketetapan parti rakan?” katanya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, gesaan supaya menghormati keputusan rakan gabungan hanya timbul apabila pihak tertentu merasakan diri mereka terkesan dengan perkembangan semasa.
“Kena pada kawan tidak mengapa, tak perlu hormat. Bila kena pada diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu?” katanya.
Afnan menegaskan, jika sesebuah parti mahu dihormati oleh rakan-rakan dalam gabungan, maka sikap yang sama juga perlu ditunjukkan kepada pihak lain.
“Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Senang sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa Hilman memaklumkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akan diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa proses dalaman setiap parti komponen perlu dihormati.
Hilman berkata, semua parti dalam gabungan tersebut wajar diberikan ruang untuk membuat keputusan masing-masing, sebagai respons kepada gesaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mahu mesyuarat tergempar MT PN dipanggil segera.
Terdahulu, Abdul Hadi menyeru agar mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin serta pelantikan pengerusi baharu demi memastikan kelangsungan dan kestabilan pentadbiran gabungan pembangkang berkenaan.
Perbezaan pandangan ini memperlihatkan dinamika dalaman PN yang semakin menjadi tumpuan, khususnya dalam usaha gabungan tersebut menyusun semula kepimpinan dan hala tuju politiknya menjelang cabaran politik akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
