ARMADA BERSATU Tetapkan Jawatan Pengerusi PN Perlu Diisi Presiden Parti Gabungan

KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti BERSATU, ARMADA menegaskan pendirian, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu disandang oleh presiden parti komponen gabungan itu bagi menjamin kewibawaan, autoriti serta keberkesanan kepimpinan PN.

Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik ARMADA yang bersidang semalam, susulan perkembangan terkini berkaitan kekosongan jawatan pengerusi gabungan pembangkang itu.

Menurut beliau, keperluan agar jawatan berkenaan diisi oleh presiden parti adalah penting bagi memastikan segala keputusan yang dibuat mempunyai mandat jelas daripada parti masing-masing, selain mengelakkan kekeliruan dalam struktur pentadbiran PN.

“Biro Politik ARMADA berpandangan, jawatan Pengerusi PN mesti disandang oleh presiden parti komponen yang mempunyai kuasa dan autoriti penuh untuk mewakili parti masing-masing dalam membuat keputusan strategik gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Fahim berkata, pendekatan itu diyakini mampu menjamin keabsahan kepimpinan dan melancarkan pengurusan PN sebagai sebuah gabungan politik utama di peringkat nasional.

Selain itu, beliau memaklumkan, ARMADA turut menekankan isu kepengerusian PN perlu ditangani secara berhikmah dan berlandaskan semangat muafakat antara parti-parti komponen.

“Biro Politik ARMADA juga mengambil ketetapan sebarang penyelesaian berkaitan kepimpinan tertinggi PN perlu dibuat secara kolektif oleh kepemimpinan parti-parti gabungan, dengan mengambil kira kepentingan kestabilan dan kelangsungan gabungan itu sendiri,” ujarnya.

Kenyataan ARMADA itu hadir ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggesa agar satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN diadakan dalam masa terdekat.

Mesyuarat berkenaan antara lain bertujuan menerima serta mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Abdul Hadi berkata, gesaan itu dibuat demi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kepimpinan PN, selain membuka ruang kepada pelantikan pengerusi baharu bagi menerajui gabungan tersebut.

Sebelum ini, beliau turut mengesahkan Pas akan menerajui PN, namun memberi bayangan beliau sendiri tidak akan memegang jawatan Pengerusi. Perkembangan itu mencetuskan pelbagai spekulasi politik berhubung calon yang berpotensi mengisi jawatan berkenaan.

Antara nama disebut ialah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang kini menerajui pentadbiran negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Setakat ini, PN dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pas, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), yang masing-masing mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju dan kepimpinan gabungan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fahim berkata, ARMADA BERSATU turut menjunjung titah pedoman Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang menekankan keperluan PN meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri Perlis dengan mengutamakan kepentingan rakyat, pembangunan serta kesejahteraan negeri.

Beliau menegaskan, ARMADA kekal komited untuk memastikan kestabilan politik dan pentadbiran dapat dipelihara, selari dengan aspirasi rakyat serta prinsip perjuangan PN sebagai gabungan politik nasional.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *