Dari Meja Editorial
DALAM politik, ada dua jenis manusia. Pertama, yang tahan diuji; dan kedua, yang cair sebelum sempat disentuh. Golongan kedua inilah yang sering kita panggil, dengan penuh kasih sayang sinis sebagai berhati tisu.
Sekali terkena air mata emosi, terus hancur. Isu yang dikaitkan dengan pemimpin muda dalam sebuah parti ini sekadar membuka tirai kepada satu tabiat lama yang semakin menjadi-jadi dalam politik moden, politik yang lebih banyak bermain perasaan daripada berfikir panjang.
Bayangkan, sebuah tadika politik. Ada seorang murid yang paling bising, paling kuat bercakap, paling gemar mencelah permainan orang lain. Semua orang kena dengar suara dia, semua orang kena ikut rentak dia.
Pada awalnya, cikgu biarkan, sebab kononnya budak ini berani, vokal dan ada potensi jadi ketua kelas. Tapi lama-kelamaan, bisingnya bukan lagi tanda kepimpinan, sebaliknya gangguan.
Bila cikgu tegur dengan nada lembut, belum sempat ayat habis, budak itu dah muncung, mata berkaca, suara bergetar, lalu mengumumkan, “Kalau macam ni, baik saya tak payah jadi ketua kelas!”
Itulah ringkasan politik hati tisu. Teguran dianggap serangan. Nasihat dianggap penghinaan. Perbezaan pandangan dianggap konspirasi menjatuhkan. Lebih menarik, apabila ditegur kerana keterlanjuran kata atau sikap suka mengganggu keharmonian, naratif yang dibina ialah dirinya mangsa keadaan.
Kononnya dizalimi, ditekan, tidak difahami. Hakikat sebenar, dia hanya diminta bertenang dan berfikir sebelum bercakap.
Ugutan letak jawatan pula menjadi senjata kegemaran. Seolah-olah jawatan itu gula-gula yang boleh dirampas balik bila tak dapat perhatian. Dalam politik matang, meletakkan jawatan adalah keputusan besar yang lahir daripada prinsip dan tanggungjawab. Dalam politik tadika, ia sekadar drama air mata, digunakan untuk memujuk, menekan dan memancing simpati. “Kalau tak ikut cakap saya, saya merajuk. Kalau saya merajuk, saya balik rumah.” Begitu lebih kurang falsafahnya.
Yang lebih menghairankan, sikap ini sering datang daripada mereka yang paling lantang bercakap soal keberanian dan ketegasan. Kononnya merekalah pejuang kebenaran, tidak takut sesiapa.
Tetapi, bila ditegur oleh pucuk pimpinan sendiri, keberanian itu lesap entah ke mana. Tinggal ego yang terluka dan emosi yang tidak terurus. Rupanya berani di pentas, rapuh di bilik mesyuarat.
Politik bukan dunia dongeng yang semua orang akan tepuk tangan setiap kali kita bercakap. Jika setiap teguran dibalas dengan merajuk, jika setiap nasihat dijawab dengan drama, maka jangan hairanlah jika suatu hari nanti tiada siapa lagi yang mahu menegur.
Bukan kerana semua setuju, tetapi kerana semua sudah penat melayan emosi. Pada ketika itu, parti atau organisasi akan dipenuhi budaya angguk kepala, bukan kerana hormat, tetapi kerana takut.
Seorang pemimpin sepatutnya memiliki hati yang luas, bukan hati tisu. Kulit perlu tebal, bukan untuk kebal daripada kritikan, tetapi untuk bertahan dalam tekanan. Jika baru ditegur sudah mahu berundur, bagaimana pula bila berdepan kemarahan rakyat, kegagalan dasar, atau krisis sebenar? Takkan setiap kali keadaan tak memihak, jawatan dijadikan tebusan emosi?
Satira ini bukan mengenai satu individu semata-mata, tetapi mengenai satu penyakit yang semakin menular: politik emosi. Politik yang lebih sibuk menjaga perasaan sendiri daripada menjaga amanah.
Politik yang menganggap jawatan sebagai hak peribadi, bukan tanggungjawab kolektif. Selagi sikap ini diraikan, selagi itulah kita akan terus menyaksikan pemimpin yang kuat bercakap, tetapi lemah menerima hakikat.
Akhir kata, jika benar ingin memimpin, belajarlah membezakan antara ditegur dan dizalimi. Tidak semua yang menasihati mahu menjatuhkan, dan tidak semua yang berdiam diri itu menyokong.
Dalam politik, yang paling berbahaya bukan musuh di luar, tetapi ego di dalam. Dan ego, apabila dibalut dengan hati tisu, akan sentiasa memilih untuk menangis daripada belajar. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
