IPOH – Beberapa Ketua Bahagian Parti BERSATU di Perak, yang sebelum ini lantang menggesa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, menerima notis panggilan untuk hadir ke hadapan Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti pada 14 Januari ini.
Ketua Bahagian BERSATU Teluk Intan, Kamaruddin Majid mengesahkan, beliau antara pemimpin yang menerima notis berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 3 petang semalam.
Menurutnya, beberapa Ketua Bahagian lain termasuk Padang Rengas, Gopeng, Tapah, Larut dan Pasir Salak, selain Ketua Srikandi Tambun, turut menerima notis panggilan yang sama.
Kamaruddin berkata, surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan itu memintanya hadir ke Ibu Pejabat BERSATU pada jam 2 petang susulan dakwaan wujud aduan disiplin terhadapnya.
“Dalam surat itu dinyatakan terdapat aduan disiplin bertulis susulan sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di Ipoh pada 10 Disember lalu, melibatkan 14 bahagian yang mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan presiden.
“Pengadu mendakwa kenyataan yang dibuat dalam sidang media tersebut mengandungi pembohongan serta mencemarkan imej dan reputasi BERSATU,” katanya.
Pada sidang media itu, seramai 14 kepimpinan bahagian BERSATU Perak menggesa Muhyiddin berundur bagi memberi laluan kepada proses pembaharuan parti, susulan kemelut dalaman serta prestasi kurang memberangsangkan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
