Tragedi Politik Pas di Perlis: Dikejar Tak Dapat, Dikendong Keciciran

Oleh Manzaidi Mohd Amin

Manzaidi

APA yang berlaku di Perlis selepas pertukaran jawatan Menteri Besar daripada Pas kepada Bersatu sepatutnya dibaca sebagai satu pengajaran politik yang mahal, khususnya mengenai bagaimana kuasa boleh hilang bukan kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana diri sendiri yang gagal mengurus peluang.

Pas di Perlis tidak tumbang kerana dikhianati, tidak juga kerana dipinggirkan secara tidak adil, sebaliknya kerana terlalu yakin, kuasa itu milik mereka walau apa pun keadaan.

Selepas berakhirnya era Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar, Pas dilihat hidup dalam bayangan harapan bahawa pengganti beliau akan tetap datang dari parti yang sama.

Harapan itu tidak disertai kepekaan terhadap realiti politik gabungan dan proses perlembagaan, sedangkan dalam politik, apa yang tidak disahkan tidak pernah wujud dan apa yang lewat akan ditinggalkan.

Namun, Pas memilih untuk percaya jawatan itu akan “kembali sendiri”, seolah Bersatu sekadar pelengkap, bukannya rakan yang mempunyai kepentingan kuasa sendiri.

Apabila Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar parti yang terlibat mengemukakan nama calon Menteri Besar, detik itulah sepatutnya menjadi titik fokus tertinggi Pas.

Namun, Pas berlengah. Sama ada kerana terlalu yakin, terlalu sibuk berunding sesama sendiri atau terlalu yakin Bersatu tidak akan berani mendahului. Hasilnya tetap sama, Pas gagal bertindak pada saat yang paling kritikal. Bersatu pula bergerak pantas, memahami dalam politik, siapa yang sampai dahulu akan ditimbang dahulu.

Apabila Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memperkenankan Abu Bakar Hamzah dari Bersatu sebagai Menteri Besar baharu, keputusan itu sah, berperlembagaan dan tidak wajar dipertikaikan. Tetapi, Pas memilih untuk melihat keputusan tersebut sebagai satu bentuk pengkhianatan, bukan sebagai akibat langsung kepada kelemahan sendiri. Daripada bermuhasabah, Pas membina naratif mangsa. Daripada menilai kesilapan, Pas memilih untuk merajuk.

Sikap merajuk inilah yang menjadi punca kerosakan lebih besar. Pas bukan sahaja gagal mendapatkan jawatan Menteri Besar, malah secara sedar memilih untuk menjauhkan diri daripada kerajaan negeri.

Apabila Menteri Besar baharu meminta Pas mengemukakan nama bagi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pas enggan berbuat demikian. Kononnya sebagai tanda bantahan. Kononnya sebagai tekanan politik. Hakikatnya, ia adalah bentuk pengunduran diri yang paling tidak strategik.

Akibatnya, Bersatu melantik semua lima ADUNnya sebagai Exco, termasuk Menteri Besar sendiri memegang portfolio Exco. Kerajaan negeri tetap berfungsi, Mesyuarat Exco tetap berjalan, keputusan pentadbiran tetap dibuat, dan negeri tetap ditadbir.

Pas pula kehilangan satu-satunya ruang rasmi untuk mempengaruhi dasar dan hala tuju pentadbiran negeri. Jika Pas berniat melemahkan Bersatu, mereka gagal. Jika Pas berniat menghukum kerajaan negeri, mereka menghukum diri sendiri.

Apabila strategi merajuk ini tidak membuahkan hasil, Pas dilihat cuba mengambil langkah lebih terdesak. Penyerahan senarai kekosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis.

Langkah ini bukan sahaja tergesa-gesa, malah memperlihatkan ketiadaan pelan jangka panjang. Ia lebih menyerupai tindakan panik daripada percaturan politik yang matang.

Lebih memalukan, apabila Pas menyedari, langkah tersebut tidak membawa kelebihan, malah boleh memakan diri, penyerahan itu ditarik balik. Pusingan U ini mengesahkan persepsi, Pas tidak benar-benar tahu apa yang mereka mahukan.

Hari ini mahu membubarkan DUN, esok bimbang berdepan pilihan raya. Hari ini mahu menjatuhkan kerajaan, esok takut menanggung akibat politiknya sendiri.

Akhirnya, Pas berada dalam situasi paling buruk yang boleh dialami oleh mana-mana parti politik. Jawatan Menteri Besar tidak diperoleh. Jawatan Exco tidak dimiliki walau satu. Kerajaan negeri tidak tumbang. Malah, Bersatu mentadbir Perlis secara sah tanpa perlu berkongsi kuasa dengan Pas. Pas yang suatu ketika dahulu berada di pusat kuasa kini hanya mampu bersuara dari luar, tanpa pengaruh sebenar dalam pentadbiran.

Keseluruhan episod ini memperlihatkan satu hakikat yang sukar diterima, tetapi perlu diakui, iaitu Pas di Perlis kalah bukan kerana kekurangan sokongan rakyat, tetapi kerana kegagalan mengurus kuasa apabila peluang masih di tangan.

Politik tidak memberi ruang kepada keangkuhan yang tidak disokong tindakan, dan tidak bersimpati kepada parti yang mengutamakan emosi berbanding strategi.

Bagi rakyat Perlis, apa yang berlaku menimbulkan persoalan besar mengenai kematangan politik dan keutamaan parti-parti yang memerintah. Perebutan jawatan, merajuk kuasa dan percaturan separuh masak tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat, selain menambah ketidakpercayaan terhadap elit politik yang seharusnya lebih bertanggungjawab.

Pas hari ini ibarat seseorang yang terlalu ghairah mengejar sesuatu yang belum tentu miliknya, lalu melepaskan apa yang sudah ada di tangan. Peribahasa Melayu yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan ini ialah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Dalam politik, kesilapan sebegini tidak sekadar memalukan, tetapi meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kredibiliti dan kepercayaan rakyat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

2 thoughts on “Tragedi Politik Pas di Perlis: Dikejar Tak Dapat, Dikendong Keciciran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *