Seruan Perpaduan Melayu Warnai Perutusan Tahun Baharu 2026 – Marzuki

PUTRAJAYA – Ketika negara melangkah ke ambang Tahun Baharu 2026, Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Dato’ Wira Marzuki Yahya, menyampaikan Perutusan Tahun Baharu yang sarat dengan seruan kesedaran, perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan maruah bangsa Melayu serta kedaulatan negara.

Dalam perutusannya, beliau menegaskan, kehadiran tahun 2026 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pertukaran angka pada kalendar, sebaliknya sebagai satu peringatan besar, masa terus bergerak pantas, sementara cabaran terhadap masa depan bangsa Melayu semakin mencabar dan kompleks.

Menurut beliau, orang Melayu sebagai bangsa teras yang membina dan mempertahankan negara sejak awal penubuhannya tidak boleh terus berada dalam keadaan ragu-ragu terhadap identiti, peranan dan tanggungjawab sendiri.

“Masa depan bangsa Melayu tidak akan terjamin jika kita terus leka, berpecah serta alpa terhadap tanggungjawab kita sendiri,” tegasnya.

Marzuki turut menekankan keperluan untuk orang Melayu memperkukuh keyakinan diri serta berani menyatakan pendirian dalam mempertahankan hak dan kepentingan yang telah diamanahkan oleh sejarah dan Perlembagaan negara.

Beliau menjelaskan, usaha mempertahankan hak bangsa dan agama bukanlah bermaksud menolak atau membenci kaum lain, sebaliknya ia merupakan asas kepada kelangsungan sebuah bangsa bermaruah dan berdaulat.

“Bangsa yang hilang keyakinan terhadap dirinya sendiri adalah bangsa yang sedang menuju kelemahan,” katanya lagi.

Dalam konteks ini, beliau mengingatkan, sebarang pemikiran atau pendekatan yang meletakkan kepentingan bangsa sendiri ke tahap kedua sehingga meremehkan agama dan jati diri perlu dinilai semula secara kritikal dan bertanggungjawab.

Perutusan tersebut turut memberi penekanan besar terhadap kepentingan perpaduan Melayu berteraskan Islam, nilai budaya dan kesetiaan kepada tanah air.

Menurut beliau, perpecahan akibat perbezaan kecil yang diperbesarkan hanya akan melemahkan kedudukan bangsa dalam jangka panjang.

Beliau mengingatkan, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbalahan, tetapi daripada kesepakatan dan kebersamaan, selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

Beliau juga menyentuh mengenai keperluan mempertahankan kedaulatan negara sebagai benteng utama kepada masa depan anak cucu bangsa peribumi dan Bumiputera.

“Kedaulatan bukan sekadar simbol, tetapi pelindung kepada masa depan. Jika kita sendiri gagal mempertahankannya, tidak mustahil hak ini akan dipersoalkan atau dipinggirkan suatu hari nanti,” ujarnya.

Dalam perutusan sama, Marzuki menghuraikan konsep Payung Besar Melayu sebagai satu simbol perlindungan dan kesatuan bangsa. Namun, beliau mengingatkan, kekuatan payung tersebut hanya akan berfungsi jika didukung oleh perpaduan tulen, kerjasama ikhlas serta kesediaan meletakkan kepentingan bangsa mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok sempit.

Beliau mengaitkan perkara ini dengan falsafah lama orang Melayu yang menekankan nilai sokong menyokong dan kebersamaan seperti peribahasa “Bagai aur dengan tebing” serta “Seikat bak sirih, serumpun bak serai.”

Menutup perutusannya, Marzuki menyeru seluruh rakyat Melayu tanpa mengira latar belakang, sama ada di desa atau kota, tua atau muda, golongan profesional mahupun pekerja agar menyatukan langkah dan tekad demi masa depan bersama.

Beliau juga menegaskan, tahun baharu ini menuntut keberanian baharu, iaitu keberanian untuk bersatu walaupun berbeza pandangan, keberanian untuk bersuara dengan hikmah serta keberanian untuk bertindak demi kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.

“Jangan biarkan sejarah mencatat kita sebagai generasi yang gagal mempertahankan amanah. Sebaliknya, biarlah kita dikenang sebagai generasi yang bangkit, bersatu dan mempertahankan maruah bangsa dengan kebijaksanaan dan keikhlasan,” katanya.

Beliau mengakhiri perutusannya dengan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 disertai harapan agar tahun mendatang menjadi tahun kebangkitan kesedaran, pengukuhan perpaduan dan pemerkasaan maruah bangsa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *