Adab Berpolitik Biarlah Rahmah

Oleh: Dr Mujahid Yusof Rawa

SETIAP mukmin itu bersaudara atas apa sahaja kesalahan dan balasan yang terpaksa dilaluinya. Kita diajar untuk membenci perbuatan mungkar, tetapi tidak kepada pelakunya, hikmahnya ialah supaya pelaku sentiasa diberi ruang untuk berasa kesal dan membaiki diri menjadi orang yang lebih baik ke hadapan.

Allah berfirman “…RahmatKu meluas ke atas segala sesuatu”(Al Araf :156). Antara tafsiran ayat ini ialah ‘RahmatKu adalah untuk yang mentaatiKu dan menyalahiKu di dunia ini, sedangkan di akhirat hanya untuk yang mentaatiKu.”

Sayugia bagi kita untuk menyerahkan khatimah kehidupan seseorang kepada Allah, sementara di dunia kita berpeganglah kepada adab mendambakan kerahmatan Allah untuk semua.

Seterusnya adab yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ialah kita hendaklah sentiasa insaf atas apa sahaja kesalahan seseorang yang dibuktikan bersalah atau yang diketahui bersalah. Kita dilarang dalam hal “shamatah” yakni bergembira dengan kesengsaraan orang lain.

Keinsafan terhadap satu kesalahan bukan dengan bergembira atas kesalahan seseorang walaupun ke atas “musuh” kita kerana sikap bergembira kita melihat kesalahan orang lain boleh menjadi sebab kepada kesalahan orang itu akan berbalik kepada kita! Sabda Nabi s.a.w:

“ومن عَير أخاه بشيء مما يكره من ذنب أو غيره يوشك أن يقع هو في ذلك الذنب أو المكروه، جاء في شرح السنة للبغوي.

“Barangsiapa yang menghina saudaranya dengan sesuatu perbuatan dosa atau kesalahan yang dilakukan hampir pasti dia akan terjebak dalam perbuatan dosa yang sama atau kesalahan yang sama” (Syarah Al Sunnah Baghawi).

Kesalahan seseorang perlu dilihat sebagai Rahmat Allah kepada si pesalah atas apa sahaja hikmah yang hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui segala sesuatu manakala kepada yang bergembira atas kesalahan seseorang, awas kerana itu boleh menjadi ujian kepadanya sehingga kemungkinan dia pula terjebak dalam kesalahan itu. Sabda Nabi s.a.w

. وَرُوِيَ عَنْ مَكْحُولٍ الشَّامِيِّ، عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تُظْهِرِ الشَّمَاتَةَ لأَخِيكَ فَيَرْحَمُهُ اللَّهُ وَيَبْتَلِيكَ

Diriwayatkan oleh Makbul Al Syami daripada Wathilah bin Al Asqa’, berkata ia : Sabda Rasulullah s.a.w: Jangan kamu menampakkan kegembiraan dengan dengan kesalahan/penderitaan saudara kamu, dengan itu Allah merahmatinya manakala kamu akan diuji (dengan kegembiraan kamu)”

Betapa kita sangat memerlukan adab-adab berpolitik secara Rahmah mutakhir ini memandangkan kita tiada garis merah mengawal perilaku dan bahasa kita. Ini bukan bermakna kita suka kepada perbuatan salah tetapi ia bukan lesen untuk kita melanggar adab-adab Rahmah yang kaya dengan nilai dan kemuliaan diri.

“Tiadalah Aku (Allah) utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa Rahmat ke sekelian Alam”

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *