Parit Dalam, Arus Deras Tak Halang Khairul Cari Rezeki Musim Banjir

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Parit dalam serta arus deras setiap kali musim banjir tidak menghalang seorang penduduk Kampung Gual To’ Deh, Mohd Khairul Nazwan Kamaruddin, 34, daripada meneruskan rutin memukat ikan demi mencari rezeki untuk keluarga.

Kata beliau, setiap kali tiba musim tengkujuh dan banjir, sebuah perahu kecil digunakan untuk kerja-kerja merentang enam utas pukat sepanjang laluan air itu.

“Air memang deras dan dalam. Kadang-kadang perahu tersangkut pada ranting atau semak dalam parit. Tapi nak cari rezeki, saya tetap turun juga,” katanya ketika ditemui Nasionaldaily.

Menurut Khairul, hasil tangkapan kelmarin dapat 30 baung dan semuanya habis dijual dalam tempoh kurang satu jam pada harga RM20 sekilogram.

Katanya, selain pembeli dari kampung, permintaan turut datang daripada penduduk luar selepas beliau memuat naik hasil tangkapan di grup WhatsApp dan Facebook.

“Purata pendapatan sekitar RM200 sehari. Sekurang-kurangnya dapat tampung belanja dapur untuk kami lima beranak sepanjang musim banjir ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairul mengusahakan bengkel kereta di Rantau Panjang, namun tidak dapat meneruskan kerja itu selepas premisnya ditenggelami banjir.

Jelasnya, selagi paras air masih tinggi, kerja memukat menjadi satu-satunya sumber pendapatan walaupun terpaksa berdepan risiko arus deras dan parit yang dalam.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *