Bot karam di Pulau Perak, seorang maut, 18 selamat – TLDM

KUALA LUMPUR – Seorang disahkan maut, manakala 18 lagi diselamatkan selepas sebuah bot karam susulan cuaca buruk di perairan Pulau Perak di Kedah semalam.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas diaktifkan Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi jam 11 pagi semalam, selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.

TLDM melalui kenyataan berkata, Kapal Diraja (KD) Ledang diatur gerak ke kawasan pencarian untuk melaksanakan operasi secara berterusan, lapor Berita Harian.

“Hasil tindakan efektif di lapangan, 19 mangsa berjaya ditemui pada jam 10.15 malam semalam.

“Bagaimanapun seorang mangsa disahkan meninggal dunia, manakala mangsa yang selamat diberikan rawatan awal di atas kapal,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, TLDM menyelamatkan sembilan orang awam yang terkandas susulan tanah runtuh di Pulau Jarak di Perak.

Difahamkan, semua mangsa berada di pulau berkenaan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan suar sebelum terkandas akibat kejadian tanah runtuh.

“Susulan itu, sebuah helikopter jenis Super Lynx diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki.

“Melalui tindakan pantas serta koordinasi rapi, semua mangsa diselamatkan seterusnya dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi itu,” katanya.

Dalam pada itu TLDM menasihatkan orang ramai berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini berikutan hujan lebat kebelakangan ini memberi kesan kepada kawasan perairan negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *