Dari Meja Editorial
TEGURAN terbuka Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung pelantikan Tan Sri Teriruddin sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) merupakan satu detik penting dalam wacana kenegaraan Malaysia.
Dalam keadaan di mana suara institusi diraja jarang sekali mencampuri urusan berkaitan pelantikan badan kehakiman, kenyataan Tuanku membawa isyarat yang tegas dan tidak boleh dipandang ringan.
Ia bukan sahaja menyentuh soal individu tertentu, tetapi lebih mendasar mengenai batas kuasa Eksekutif dan prinsip kebebasan kehakiman.
Titah Tuanku Muhriz jelas mengandungi peringatan bahawa pelantikan terbaharu itu berpotensi mengundang campur tangan Eksekutif dalam proses pelantikan kehakiman.
JAC, sebuah badan yang ditubuhkan untuk memastikan pemilihan dan pelantikan hakim dibuat secara bebas, seharusnya bebas daripada pengaruh politik.
Namun, apabila seseorang tokoh seperti Teriruddin, yang pernah terpalit kontroversi mengenai dakwaan kecenderungan kepada pihak Eksekutif, dilantik di bawah kuasa Perdana Menteri, timbul persoalan sama ada integriti JAC dapat dipertahankan sepenuhnya.
Tuanku menzahirkan kebimbangan bahawa penyertaan beliau mungkin membawa implikasi negatif terhadap profesion undang-undang dan persepsi masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman.
Teguran sebegini amat jarang kita dengar daripada pihak istana, sekali gus memperlihatkan betapa seriusnya perkara ini pada pandangan Tuanku.
Pelantikan Teriruddin dibuat bagi mengisi satu kekosongan dalam JAC selepas persaraan salah seorang anggotanya. Namun, isu ini tidak berlaku dalam ruang kosong. Nama beliau sebelum ini pernah mengundang perbahasan hangat apabila dikatakan tampil melalui rekomendasi Perdana Menteri, yang menurut peruntukan semasa, mempunyai kuasa melantik lima daripada sembilan anggota JAC.
Lebih jauh lagi, riwayat pelantikan beliau sebagai Hakim Persekutuan dan hampir menjawat jawatan Ketua Hakim Negara menimbulkan persepsi, beliau dilihat sebagai proksi Eksekutif.
Walaupun persepsi tidak semestinya menggambarkan kenyataan, hakikat persepsi itu wujud sudah cukup menjejaskan keyakinan umum, satu perkara yang amat penting dalam dunia kehakiman.
Respons masyarakat terhadap suara Tuanku amat positif kerana tidak ramai pemimpin yang berani menyentuh isu kebebasan kehakiman secara terus terang, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kuasa Eksekutif.
Pendirian tegas Tuanku dilihat sebagai usaha menyuburkan kembali integriti sistem keadilan Malaysia dan keberanian sebegini mengingatkan rakyat bahawa institusi berperlembagaan masih mempunyai peranan sebagai pengimbang kepada kuasa politik.
Tan Sri Rais Yatim mengemukakan suatu saranan penting, iaitu agar JAC disemak semula, termasuk memansuhkan kuasa Perdana Menteri untuk melantik lima anggota suruhanjaya tersebut.
Selagi peruntukan ini kekal, keseimbangan kuasa akan sentiasa berat memihak kepada Eksekutif, mengatasi empat lantikan daripada institusi kehakiman.
Struktur sedia ada menimbulkan persoalan yang lebih besar. Bolehkah kebebasan kehakiman benar-benar dijamin jika kuasa politik masih memegang majoriti kerusi dalam badan yang bertanggungjawab mencadangkan calon hakim? Pembaharuan bukan sahaja wajar, malah mendesak, sekiranya Malaysia benar-benar mahu memelihara integriti sistem perundangannya.
Titah Tuanku Muhriz harus dijadikan titik tolak reformasi kehakiman. Teguran yang datang daripada seorang pemerintah negeri yang disegani memberi mesej bahawa perubahan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Reformasi undang-undang dan perlembagaan mesti bermula dengan keberanian untuk menilai semula peranan Eksekutif dalam urusan kehakiman, sesuatu yang telah lama menjadi punca keresahan dalam masyarakat sivil, komuniti undang-undang dan pemerhati demokrasi.
Mematuhi teguran Diraja bukan soal politik; ia soal kedaulatan undang-undang dan masa depan negara. Kebebasan kehakiman ialah nadi kepada sebuah negara hukum. Tanpa jaminan itu, kepercayaan rakyat akan terus terhakis, dan prinsip pemisahan kuasa akan kekal sebagai slogan, bukan amalan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
