LOS ANGELES – Bintang filem Hollywood, Tom Cruise, akhirnya menerima trofi emas, Anugerah Akademi (Oscar) pertama selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam industri perfileman.
Cruise, 63, menerima Oscar Kehormat 2025 pada majlis tahunan Anugerah Gabenor bersama bersama penyanyi dan dermawan, Dolly Parton; koreografer Debbie Allen dan pereka produksi, Wynn Thomas di sini, hari ini, lapor BBC.
Dalam ucapan penghargaannya, bintang filem Top Gun dan Mission: Impossible itu meluahkan cinta yang mendalam terhadap dunia sinematik:
“Membuat filem bukan sekadar apa yang saya lakukan, tetapi itulah diri saya.”
Sepanjang karier, Cruise pernah tercalon dalam Anugerah Akademi (Oscar) sebanyak empat kali.
Cruise turut menzahirkan penghargaan kepada penggiat seni termasuk tenaga kreatif di belakang kamera yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang 45 tahun kerjayanya. Cruise juga menekankan kekuatan dan pengaruh magis dunia perfileman.
Sebaik naik ke pentas, Cruise disambut tepukan gemuruh yang berlarutan hampir seminit daripada barisan tokoh industri. Antara legenda dan bintang filem yang hadir adalah Steven Spielberg, Leonardo DiCaprio dan Jerry Bruckheimer.
Anugerah Gabenor disampaikan sutradara, Alejandro G Inarritu yang sedang mengarahkan filem terbaru lakonan Cruise.
“Sinema membawa saya mengelilingi dunia. Industri filem mengajar saya menghargai perbezaan, namun, pada masa sama, menunjukkan kemanusiaan yang kita kongsi bersama.
“Di dalam panggung wayang, kita ketawa, merasai emosi, berharap dan bermimpi bersama…Itulah kuasa seni ini.
“Sebab itulah ia penting kepada saya. Menghasilkan filem bukan apa yang saya buat, tetapi siapa saya,” kata Cruise lagi.
Cruise yang memulakan karier filem pada 1981 pernah dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Born on the Fourth of July dan Jerry Maguire. Cruise juga pernah tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Magnolia. Beliau turut dicalonkan sebagai penerbit untuk Top Gun: Maverick.
Lembaga Gabenor Akademi Perfileman memilih Cruise atas komitmen luar biasa terhadap komuniti perfileman, pengalaman tayangan pawagam dan komuniti aksi lasak, berdasarkan kenyataan badan itu.
Dalam ucapannya, Cruise mengimbas bagaimana sinema membesarkan dunia kecil yang dikenali ketika zaman kanak-kanaknya.
“Filem membuka mata dan imaginasi saya kepada kemungkinan hidup yang jauh lebih luas. Cahaya dari layar itu menyalakan keinginan untuk meneroka dunia… Itulah yang saya kejar hingga kini,” katanya.
Cruise yang terkenal dengan keberanian melakukan lagak aksi sendiri, lantang mempertahankan kepentingan sinema, ketika industri penstriman dan media sosial semakin bersaing merebut perhatian penonton.
“Saya mahu anda tahu, saya akan sentiasa melakukan apa yang terdaya untuk membantu seni ini. Menyokong suara baharu dan mempertahankan apa yang menjadikan sinema begitu berkuasa… Harapnya tanpa terlalu banyak tulang patah lagi,” seloroh Cruise.
Terdahulu, Cruise dilapor bakal menerima pengiktirafan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerusi Kennedy Center Honors, namun, beliau menolak kerana pertindihan jadual. – BBC
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
