Oleh: Manzaidi Mohd Amin
AWAl dekad 1980-an merupakan zaman yang begitu hidup bagi dunia kesusasteraan di Kelantan.
Ketika itulah saya mula menyelami arus kehidupan penulis, penyair dan penggiat seni yang bergiat aktif di negeri Serambi Mekah ini.
Semangat dan cinta terhadap seni kata serta budaya tempatan mendorong saya untuk terlibat dengan pelbagai persatuan penulis dan badan seni yang tumbuh mekar di seluruh jajahan negeri.
Segalanya bermula dengan Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir), sebuah wadah kecil yang menghimpunkan penulis-penulis muda dan pencinta bahasa dari daerah pantai itu.
Dari situ, langkah saya melebar ke jajahan kelahiran sendiri – Pasir Mas – apabila saya menyertai Badan Seni Budaya Pasir Mas (BASNIDA).
Dunia seni saya terus berkembang apabila Angkatan Seni Tari Tradisional (ASTRA) dari Kuala Krai bergabung dengan BASNIDA, melahirkan satu jalinan seni yang indah antara dunia sastera dan tari tradisional.
Tidak lama kemudian BASNIDA berpindah ke Kota Bharu dengan nama Badan Seni Budaya Kota Bharu.
Pada waktu yang sama, takdir mempertemukan saya dengan dunia kewartawanan. Ketua Biro BERNAMA Kota Bharu ketika itu, Encik Ahmad, telah meluluskan permohonan saya sebagai Pemberita Sambilan untuk daerah Pasir Mas.
Sejak April 1984, hidup saya berputar antara dua dunia – sastera dan kewartawanan, dua bidang yang saling melengkapi dan membentuk jiwa saya hingga ke hari ini.
Sebagai pemberita sambilan, saya menyibukkan diri menulis berita untuk pelbagai media seperti BERNAMA, Radio RTM Kota Bharu, Radio KADA, akhbar mingguan Watan dan Bacaria serta Majalah Detik dan beberapa makalah lain.
Dalam masa yang sama, saya turut menulis skrip drama radio untuk siaran Drama Wakaf Beringin Radio KADA, sebuah pengalaman yang memperkayakan lagi kemahiran penulisan dan penceritaan saya.
Dalam dunia kesusasteraan Kelantan ketika itu, saya cukup bertuah kerana dapat mengenali ramai tokoh dan rakan seperjuangan yang berbakat besar, antaranya (Allahyarham) Mustapa Jusoh, Abdul Hadi, Zainal Abidin (Gema), Samoza (Allahyarham Sabri Mohd Zain), Allahyarhamah Kak Jah (Khatijah Makyong) serta Allahyarham Shaari Awang (Pakyong) dan isterinya Kak Ani (legasi Kak Jah Makyong).
Saya juga sempat bersahabat dan berkarya bersama beberapa nama besar penulis dan penyair dari negeri ini seperti Rosli K. Matari, Wadi Leta, Leo, Ramli Priapapa, Wilai Ah Jok, En Deng Eh Chik, Lee Chong Beng (Azli Lee Abdullah) serta Allahyarham Noor Jaafar, deejay radio yang begitu aktif memperjuangkan karya tempatan.

Itulah zaman yang saya anggap sebagai zaman kegemilangan diri – ketika sastera dan kewartawanan menjadi dua sayap yang membawa saya terbang tinggi dalam dunia ilmu dan seni.
Namun, masa tidak pernah berhenti berjalan. Setelah saya berpindah bertugas ke Selangor, keaktifan saya dalam dunia sastera mula perlahan dan akhirnya menyepi.
Sekali sekala, ada juga jemputan dari pihak penganjur di Kelantan sebagai panel pengadil pertandingan dikir barat peringkat Kelantan dan pertandingan syarahan peringkat sekolah rendah, termasuk bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Tetapi, semakin lama kesibukan tugas harian dan kesukaran mendapatkan cuti menjadikan keterlibatan saya semakin terbatas.
Kini, apabila saya melihat semula perjalanan itu – melihat nama-nama baharu dalam persatuan dan kelab sastera di Kelantan – timbul satu persoalan dalam hati: apakah saya sudah dilupakan oleh rakan-rakan sastera, atau sebenarnya saya yang melupakan mereka?
Bila sesekali saya membuka lembaran Dewan Sastera atau majalah sastera lain, terasa seolah masa mahu berpatah balik ke tahun-tahun 80-an dan 90-an. Zaman ketika dunia sastera negeri penuh dengan aktiviti, diskusi, persembahan dan tawa teman-teman seperjuangan yang kini ramai telah pergi meninggalkan kita.
Walau banyak perkara telah luput dari ingatan, kenangan itu tetap hidup di hati. Dunia mungkin berubah, teknologi mungkin mengubah cara kita berkarya dan berkomunikasi, tetapi semangat dan jiwa sastera yang pernah membakar hati kami di Kelantan pada suatu ketika dahulu tidak akan padam.
Ia kekal menjadi sebahagian daripada diri, mengingatkan bahawa sastera bukan sekadar tulisan, tetapi juga perjalanan hidup, perjuangan dan cinta terhadap bahasa serta budaya bangsa.
Nota Penulis:
Tulisan ini adalah refleksi peribadi tentang perjalanan saya dalam dunia kesusasteraan dan kewartawanan di Kelantan sejak awal 1980-an, sebagai tanda kasih terhadap rakan-rakan seperjuangan, sama ada yang masih bersama kita atau telah kembali ke rahmatullah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001