KUALA LUMPUR – Mendiang Yap Shing Xuen, pelajar berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selasa lalu, akan disemadikan hari ini.
Mayat pelajar perempuan itu akan disemadikan secara pembakaran di Krematorium Nirvana di Shah Alam, Selangor selepas tiga hari upacara sembahyang dan penghormatan berakhir, malam tadi.
Mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah pada 14 Oktober lalu sebelum dua senjata tajam, yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, ditemui di tempat kejadian.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki sekolah sama berusia 14 tahun telah ditahan berhubung kes terbabit.
Selepas bedah siasat, polis memaklumkan bahawa laporan patologi dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Pada sidang media Khamis lalu, ibu pelajar perempuan berkenaan, Wong Lee Ping, mendakwa kira-kira 200 kesan tikaman dikesan pada badan anaknya.
Wanita itu menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau khabar angin mengenai kes berkenaan.
Tambahnya lagi, keluarga amat terkesan dengan tragedi itu dan memohon privasi ketika mereka sedang berkabung atas kehilangan anak bongsu daripada dua beradik terbabit.
Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, seramai 127 saksi, termasuk rakan suspek dirakam keterangan setakat ini bagi membantu siasatan kes.
Polis juga masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada bahagian patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan, dijangka dalam tempoh sebulan atau lebih awal, namun paling lama sekitar tiga bulan.
Suspek lelaki berusia 14 tahun yang juga pelajar peralihan di sekolah sama dengan mangsa masih direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tikaman pada dada dan leher mangsa dikenal pasti menjadi punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001