KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam keras tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang didakwa menghidangkan minuman keras dalam sebuah program rasmi kementerian yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta mencemarkan imej kementerian dan maruah umat Islam di negara ini.
“Apakah MOTAC sudah hilang sensitiviti dan lupa bahawa Malaysia ialah negara Islam dengan Islam sebagai agama Persekutuan? Atau adakah ini mencerminkan sikap sambil lewa kepimpinan kementerian?” soal beliau.
PERKASA turut melontarkan beberapa persoalan yang menuntut penjelasan segera daripada pihak kementerian, antaranya siapa yang memberi arahan untuk menghidangkan arak, sama ada Menteri MOTAC mengetahui dan merestui perkara itu serta adakah terdapat unsur penajaan daripada pihak berkepentingan industri arak.
Tambah Irwan, ketiadaan garis panduan yang jelas dalam protokol acara rasmi boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan kementerian tersebut dalam menjaga maruah budaya dan nilai negara.
Sehubungan itu, PERKASA menuntut penjelasan terbuka daripada Menteri MOTAC; Siasatan dalaman serta tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat; dan Penetapan garis panduan wajib untuk melarang penghidangan minuman keras dalam semua program rasmi kerajaan.
“Rakyat berhak bertanya, adakah kerajaan hari ini lebih mementingkan imej di mata industri pelancongan luar daripada menjaga sensitiviti rakyat dan maruah agama Islam?” tegasnya.
PERKASA menegaskan, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan terus bersuara sehingga isu ini dijelaskan secara tuntas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001