PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menyuarakan bantahan keras cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau menyifatkan jemputan itu sebagai langkah tidak selari dengan prinsip kemanusiaan, solidariti sejagat serta pendirian rasmi kerajaan Malaysia yang sekian lama menentang kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Adalah satu bentuk kemunafikan politik yang nyata apabila kerajaan mendabik dada menyumbang puluhan juta ringgit atas nama solidariti untuk Palestin, tetapi dalam masa sama meraikan pemimpin yang secara terang-terangan menyokong dan memperkukuhkan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Beliau mengimbas kembali tindakan kontroversi Trump ketika memegang jawatan Presiden AS, termasuk pengiktirafan unilateral terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 2017 dan pelaksanaan pelan “Deal of the Century” yang menurutnya menafikan hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.
Selain itu, Marzuki turut menegaskan, Trump telah mengarahkan pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang disifatkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai langkah provokatif dan simbol pengiktirafan penuh terhadap penjajahan Israel ke atas bumi Palestin.
“Apakah Anwar sudah lupa, di bawah pentadbiran Trump, AS juga memotong bantuan kemanusiaan kepada UNRWA iaitu agensi PBB yang membantu pelarian Palestin dan menyokong pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat?” soal beliau.
Menurutnya, tindakan seperti itu secara terang-terangan telah menghancurkan harapan terhadap penyelesaian dua negara dan menjejaskan kestabilan di rantau Timur Tengah.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang amat mengecewakan apabila tokoh yang mempunyai rekod menyokong polisi pro-Zionis dan anti-Palestin hendak dijemput ke Malaysia, sebuah negara yang selama ini dikenali lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
“Mengundang individu seperti ini bukan sahaja satu tindakan tidak sensitif, malah merupakan penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin serta pengkhianatan kepada pendirian luar negara kita yang kononnya tegas menentang penjajahan Zionis,” tegas Marzuki lagi.
Beliau menegaskan, keghairahan berdamping dengan kuasa besar dunia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip dan maruah negara, khususnya dalam isu menyentuh sensitiviti umat Islam dan hak asasi manusia sejagat.
Bekas Timbalan Menteri Luar ini turut menggesa Perdana Menteri supaya menarik balik cadangan menjemput Trump serta memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat Malaysia mengenai rasional di sebalik keputusan tersebut.
“Jika benar kerajaan Malaysia komited dalam membela rakyat Palestin, sebarang bentuk penghormatan, pelawaan rasmi atau hubungan baik dengan tokoh yang mencetus dan menyokong dasar pro-Zionis mesti ditolak sekeras-kerasnya,” katanya.
Beliau menambah, tindakan sebegini bukan sahaja mencalarkan imej Malaysia di mata dunia Islam, malah boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap dasar luar negara yang selama ini berpaksikan kepada keadilan dan perjuangan membela golongan tertindas.
Marzuki menyeru kerajaan agar konsisten dalam segala dasar, lawatan serta hubungan antarabangsa dan memastikan setiap langkah diambil selari dengan nilai kemanusiaan, keadilan sejagat dan solidariti terhadap rakyat tertindas, khususnya di Palestin.
“Jangan hanya kerana mahu meraih pengaruh atau sokongan daripada kuasa besar, kita sanggup membelakangkan prinsip perjuangan yang telah sekian lama menjadi dasar luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar dalam respon itu, menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump dengan menyatakan, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.
Kata beliau, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001