WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melaksanakan pusingan baharu ‘tarif membebankan’ ke atas pelbagai barangan import, apabila mengenakan duti 100 peratus ke atas ubat berjenama dan tarif 25 peratus bagi lori tugas berat bermula minggu depan.
Tindakan terbaru itu dilihat sebagai sebahagian daripada peralihan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, kepada asas undang-undang lebih kukuh bagi melaksanakan tarif.
Difahamkan, tindakan itu mengambil kira risiko dikaitkan dengan kes di Mahkamah Agung mengenai kesahihan pengenalan tarif global secara meluas.
Trump juga berkata pihaknya akan mengenakan tarif 50 peratus membabitkan kabinet dapur dan meja solek bilik mandi, serta 30 peratus bagi perabot dengan balutan fabrik berkuatkuasa 1 Oktober depan.
“Alasan tindakan ini kerana kebanjiran besar-besaran produk ini ke AS oleh negara-negara luar,” katanya di akaun Truth Social miliknya berhubung tarif barangan isi rumah.
Trump berkata tarif baharu 100 peratus ke atas sebarang produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan akan terpakai kepada semua import, kecuali syarikat terbabit memulakan pembinaan kilang pembuatan di AS.
Pentadbiran Trump dilapor menjalankan puluhan siasatan mengenai implikasi keselamatan negara terhadap import turbin angin, kapal terbang, semikonduktor, polisilikon, tembaga, kayu balak dan mineral kritikal sebagai asas kepada tarif baharu.
Pada minggu ini, Trump dijadual mengumumkan siasatan baharu terhadap peralatan perlindungan peribadi, barangan perubatan, robotik dan jentera industri.
Trump menjadikan levi tarif sebagai ‘senjata’ utama dasar luar AS dengan menggunakannya untuk merundingkan semula perjanjian perdagangan, mendapatkan konsesi serta menekan negara lain dari segi politik.
Rumah Putih juga menekankan tarif sebagai sumber pendapatan penting buat negaranya.
Menurut Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, Washington bakal mengutip AS$300 bilion (RM1.26 trilion) menjelang akhir tahun ini iaitu lebih tiga kali ganda hasil tarif tahunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Susulan pengumuman tarif ubat baharu, Persatuan Penyelidikan dan Pengeluar Farmaseutikal AS menentang langkah itu.
Ini kerana 53 peratus daripada AS$85.6 bilion (RM361.3 bilion) bahan digunakan untuk menghasilkan ubat bagi kegunaan rakyat AS, dihasilkan dalam negara itu sendiri manakala selebihnya datang dari Eropah dan sekutu AS lain. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001