Rakyat Dipaksa Tukar MyKad untuk Subsidi? Kenapa sampai tahap itu mereka disusahkan?

Dari Meja Editorial

Manzaidi

KETIKA rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang makin menghimpit, mereka sekali lagi dibebankan dengan syarat baharu yang mengejutkan, iaitu perlu ke Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar atau mengemaskini MyKad semata-mata untuk menikmati subsidi petrol. 

Mengapa rakyat Malaysia, yang telah lahir, membesar dan bekerja di tanah air ini, masih perlu membuktikan kewarganegaraan mereka berulang kali hanya untuk menikmati hak yang sepatutnya automatik sebagai warganegara?

Bukankah MyKad itu sendiri adalah simbol dan bukti mutlak kewarganegaraan Malaysia? Jika begitu, mengapa tidak cukup dengan apa yang telah dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia?

Sementara itu, kita melihat golongan pendatang asing terus hidup selesa, bahkan semakin berleluasa di bandar-bandar besar, menikmati bahan api, perkhidmatan awam, malah membuka perniagaan tanpa perlu menukar sebarang dokumen atau melalui proses birokrasi yang menyusahkan.

Siapa sebenarnya yang perlu membuktikan kedudukan mereka di negara ini? Rakyat asal atau pendatang asing?

Subsidi bukan bantuan, tapi hak. Perlu ditegaskan, subsidi petrol bukan hadiah istimewa kerajaan kepada rakyat, tetapi satu bentuk tanggungjawab negara kepada warganya.

Ia adalah mekanisme agihan semula kekayaan negara supaya rakyat yang kurang berkemampuan tidak terus dihimpit kemiskinan akibat tekanan inflasi dan kenaikan harga minyak global.

Maka, apabila warganegara dipaksa menjalani proses tambahan untuk menikmati subsidi ini, termasuk menghadiri JPN untuk mengemaskini data atau MyKad, ia bukan sahaja membebankan, bahkan memperlihatkan kegagalan sistem untuk mempercayai rakyatnya sendiri.

Apa yang lebih menyedihkan, golongan paling memerlukan iaitu warga emas, orang kurang upaya, penduduk luar bandar dan mereka yang bekerja harian, kini terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang semata-mata untuk melengkapkan keperluan sistem yang sepatutnya melindungi mereka.

Apakah kerajaan sedar berapa ramai yang perlu mengambil cuti kerja, membayar tambang bas atau beratur panjang hanya untuk memastikan mereka boleh mengisi petrol pada harga subsidi?

Adakah ini sistem yang adil, mesra rakyat dan berkesan? Penyelesaian ada, tapi pilihan tidak digunakan.

Kita tidak menolak keperluan menapis subsidi supaya tidak disalahgunakan. Namun, beban itu tidak patut diletakkan di atas bahu rakyat. 

Kerajaan sepatutnya sudah lama membangunkan sistem digital yang menghubungkan JPN, LHDN, KPDN dan agensi lain untuk menentukan kelayakan subsidi secara automatik, tanpa mengganggu kehidupan harian rakyat.

Dalam era kecerdasan buatan dan data raya (big data), mengapa rakyat masih dipaksa hadir secara fizikal untuk proses yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau integrasi sistem?

Apa nilai kewarganegaraan jika ia perlu dibuktikan berkali-kali? Tindakan ini seolah mengisyaratkan bahawa kewarganegaraan tidak lagi membawa makna sebenar.

Seorang rakyat Malaysia tidak diberi keistimewaan apa-apa, melainkan setelah melalui beberapa lapisan pengesahan, semakan dan prosedur yang tidak berkesudahan.

Sementara itu, pendatang asing terus menikmati ruang yang luas, sering kali tanpa sebarang sekatan atau kawalan yang setara.

Rakyat bukan meminta layanan istimewa. Mereka hanya mahu hak yang adil dan sistem yang mempercayai mereka sebagai anak watan.

Rakyat Malaysia sudah cukup sabar. Mereka menyesuaikan diri dengan ekonomi yang mencabar, menanggung cukai yang tinggi dan kekal setia walaupun tidak semuanya menerima pulangan yang setimpal.

Tetapi apabila mereka dipaksa menempuh birokrasi tambahan hanya untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya menjadi hak asas, maka kerajaan perlu bertanya, siapa sebenarnya sedang dikhianati dalam sistem ini?

Sudah tiba masanya kita membina dasar awam yang benar-benar berpaksikan rakyat, bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang hidup dan berlaku dalam pentadbiran harian.

Jika tidak, kepercayaan rakyat akan terus menipis dan itu adalah kerugian terbesar buat sebuah negara. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *