WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memberi teguran luar biasa kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung serangan Israel terhadap Hamas di Qatar.
Trump menegaskan beliau tidak terbabit dalam serangan itu, yang dilakukan oleh Israel ke atas sebuah negara Teluk yang juga sekutu rapat AS.
Katanya, beliau cuba menghentikan serangan Israel ke atas Qatar, namun gagal kerana tindakan itu berlaku terlalu lewat.
Qatar pula memainkan peranan penting sebagai perantara rundingan damai antara Israel dan Hamas.
“Keputusan ini dibuat oleh Perdana Menteri Netanyahu, ia bukan keputusan saya,” kata Trump dalam hantaran di platform media sosialnya, Truth Social.
“Saya melihat Qatar sebagai sekutu kuat dan sahabat AS dan berasa sangat kesal dengan lokasi serangan itu,” katanya sambil menambah bahawa menghapuskan Hamas masih merupakan ‘matlamat yang wajar.’
Serangan Israel di Doha dianggap sensitif kerana Qatar menjadi perantara rundingan Gaza, menempatkan pangkalan udara besar AS dan baru-baru ini menerima kunjungan Trump.
Negara kaya bahan api fosil itu juga baru-baru ini menghadiahkan sebuah jet mewah Boeing 747-8 kepada AS untuk digunakan Trump sebagai pesawat presiden, langkah yang mencetuskan persoalan besar mengenai isu etika.
Trump menegaskan serangan itu boleh menjejaskan usahanya untuk menamatkan perang di Gaza.
“Menjalankan pengeboman secara unilateral di dalam Qatar, sebuah negara berdaulat dan sekutu rapat AS yang sedang berusaha keras dan berani mengambil risiko bersama kita untuk menjadi perantara damai, tidak memajukan matlamat Israel mahupun Amerika,” kata Trump.
Presiden AS itu turut menekankan bahawa Washington tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Israel terbabit.
Beliau berkata Rumah Putih dimaklumkan oleh tentera AS bahawa Israel sedang menyerang Hamas yang, malangnya, berada di sebuah kawasan di Doha.
“Saya segera mengarahkan Duta Khas, Steve Witkoff untuk memaklumkan kepada pihak Qatar mengenai serangan yang bakal berlaku dan beliau telah berbuat demikian, namun malangnya, sudah terlambat untuk menghentikan serangan itu,” kata Trump.
Trump berkata, beliau telah bercakap dengan Netanyahu selepas kejadian itu, dan cuba meletakkan naratif positif terhadap peristiwa berkenaan.
“Perdana Menteri memberitahu saya bahawa beliau mahu mewujudkan keamanan. Saya percaya insiden malang ini boleh dijadikan peluang untuk KEAMANAN,” kata Trump.
Teguran Trump ini luar biasa kerana beliau biasanya sentiasa menyokong Netanyahu sejak kembali ke Rumah Putih.
Trump menambah bahawa beliau telah memberi jaminan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, melalui panggilan telefon selepas serangan Israel bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi di tanah mereka.
Doha sebelum itu menegaskan mereka tidak mendapat sebarang amaran mengenai serangan terbabit.
“Panggilan yang diterima daripada seorang pegawai AS datang ketika letupan daripada serangan Israel di Doha sedang kedengaran,” kata jurucakap kementerian luar Qatar, Majed al-Ansari dalam hantaran di X.
Qatar sekali lagi mendapati dirinya terperangkap dalam kancah ketegangan di Asia Barat.
Pada Jun lalu, Iran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan udara AS Al Udeid sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001